Satu daripada tiga rakyat dewasa sakit mental

Satu daripada tiga rakyat dewasa sakit mental

GOLONGAN dewasa terutama pekerja berpendapatan rendah (B40) kerap melaporkan masalah mental lebih tinggi. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang daripada daripada tiga dewasa dilaporkan mengalami masalah tekanan, keresahan dan kemurungan.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 merekodkan 29.2 peratus rakyat berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental, bersamaan lebih 4.2 juta individu. 

Dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun pula, satu daripada enam dilaporkan berdepan isu sama, meningkat hampir dua kali ganda berbanding 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar psikologi, Prof. Dr. Siti Aisyah Panatik berkata, antara faktor utama yang dikenal pasti menyumbang kepada tekanan mental termasuk peningkatan kos sara hidup, ketidakstabilan pekerjaan dan tekanan media sosial dan penggunaan gajet berlebihan khususnya melibatkan golongan remaja. 

Katanya, berdasarkan kajian, golongan dewasa terutama pekerja berpendapatan rendah (B40) kerap melaporkan masalah mental lebih tinggi. 

“Malah, kanak-kanak dan remaja menunjukkan kadar masalah yang semakin meningkat, terutamanya mereka yang terdedah kepada tekanan akademik, media sosial serta penggunaan gajet berlebihan.

“Statistik turut menunjukkan trend peningkatan percubaan bunuh diri dalam kalangan remaja malah golongan lelaki mempunyai kadar bunuh diri yang lebih tinggi walaupun kurang melaporkan simptom. 

“Hal ini menunjukkan mereka malu’ atau takut dilabel gila atau lemah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Berdasarkan angka bagi tempoh 2020 hingga Oktober lalu itu dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Persidangan Meja Bulat Belia Bantuan Awal Menangani Bunuh Diri Belia pada November lalu mendedahkan sebanyak 5,857 kes bunuh diri direkodkan antara tahun 2020 hingga Oktober 2025, dengan lebih 80 peratus daripadanya melibatkan lelaki, terutama golongan muda dan individu usia bekerja. 

Malah, beberapa kejadian kes bunuh oleh individu mengalami gangguan mental sehingga mengorbankan ahli keluarga sendiri menunjukkan tahap kesedaran dan rawatan awal sangat rendah membabitkan pesakit mental di negara ini. 

Menurut Siti Aisyah, ada antara mereka yang menghidap penyakit mental tidak menyedari atau mengetahui tentang tanda awal gangguan mental.

Jelas beliau, pesakit mental, ahli keluarga atau orang terdekat juga tidak percaya bahawa bantuan awal dapat membantu daripada berlakunya perkara tidak diingini. 

“Budaya survive untuk hidup juga semakin menjadi norma dalam masyarakat sehingga menyebabkan tekanan berterusan untuk sekadar bertahan menyebabkan keletihan kronik dan berlakunya ketidakstabilan emosi berpanjangan. 

“Justeru, penggubalan Akta Psikologi Malaysia dilihat penting bagi memastikan perkhidmatan psikologi sebagai sebahagian daripada sistem kesihatan awam dan lebih ramai akan mendapatkan bantuan awal sebelum ia menjadi kritikal,” katanya. 

Pada 27 Mac lalu, sepasang sua­­mi isteri ditemukan maut dalam keadaan menyayat hati di rumah mereka di Kampung Belau, Merbok di Sungai Petani dipercayai dibunuh anak lelaki mereka yang menghidap sakit mental sebelum lelaki terbabit bertindak membunuh diri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini