BAITULMUQADDIS: Israel memaklumkan sedang bersiap sedia untuk membuka semula Masjid Al-Aqsa dan Gereja Makam Suci di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki bermula pagi Khamis, selepas ditutup sejak 28 Februari.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, polis Israel berkata, mereka sedang membuat persiapan untuk membuka semula tapak suci itu kepada jemaah dan pelawat bermula pagi Khamis, susulan garis panduan terkini daripada Komando Barisan Dalam Negeri.
Polis berkata, ratusan anggota dan pengawal sempadan akan ditempatkan di Bandar Lama Baitulmuqaddis serta laluan menuju ke lokasi berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Jabatan Wakaf Islam memaklumkan, Masjid Al-Aqsa akan dibuka semula untuk solat Subuh, sambil menambah kemasukan akan dibenarkan kepada semua tanpa memberikan butiran lanjut.
Pihak berkuasa Israel menutup kedua-dua lokasi itu sejak 28 Februari dengan alasan pencegahan perhimpunan sebagai langkah berjaga-jaga susulan perang yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Malah, pihak berkuasa turut menghalang solat Aidilfitri di Masjid Al-Aqsa tahun ini, yang merupakan sekatan pertama seumpamanya sejak Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur pada 1967.- ANADOLU









