BAGHDAD: Seorang wartawan warga Amerika Syarikat (AS) dibebaskan selepas diculik di ibu negara Iraq, Baghdad minggu lalu, menurut pengesahan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Kumpulan yang disokong Iran, Kataib Hizbullah, sebelum ini menyatakan pada Selasa mereka akan membebaskan Shelly Kittleson yang diculik sejak 31 Mac lalu, dengan syarat beliau perlu meninggalkan Iraq serta-merta.
Rubio berkata, pembebasan itu mencerminkan komitmen teguh pentadbiran Trump terhadap keselamatan dan perlindungan warganegara AS, tidak kira di mana mereka berada di seluruh dunia.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai Iraq atas bantuan dalam menjamin pembebasan wartawan berkenaan dan menyatakan bahawa AS kini sedang berusaha membawa keluar dengan selamat wanita itu dari Iraq.
Ketika insiden penculikan wanita berusia 49 tahun itu berlaku, kerajaan Iraq memaklumkan bahawa pasukan keselamatan telah mengejar suspek sehingga menyebabkan salah sebuah kenderaan penculik terbalik dan membawa kepada penahanan seorang individu.
Minggu lalu, Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shiaa al-Sudani, mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu pihak yang bertanggungjawab menculik warga asing di negara tersebut.
Dalam pada itu, jurucakap kumpulan berkenaan, Assaf, berkata pihaknya akan mendedahkan rakaman yang menunjukkan peranan dan aktiviti Kittleson di Iraq, namun tidak memberikan perincian lanjut mengenainya.
Insiden penculikan itu berlaku di tengah siri serangan berterusan oleh Iran dan sekutu militia Syiah Iraq terhadap sasaran yang dikaitkan dengan AS di seluruh wilayah tersebut sejak meletusnya peperangan AS-Israel terhadap Iran.
Rakan serta kenalan kecemasan Kittleson, penganalisis keselamatan CNN, Alex Plitsas, mendedahkan kerajaan AS sebelum ini menghubungi Kittleson beberapa kali untuk memberi amaran mengenai ancaman spesifik terhadapnya.
Plitsas memberitahu rakan berita BBC di AS, CBS, bahawa Kittleson telah dimaklumkan namanya berada dalam senarai milik Kataib Hezbollah yang didakwa merancang untuk menculik atau membunuh wartawan wanita.
Kittleson, yang berpangkalan di Rom, Itali, merupakan wartawan berpengalaman yang pernah membuat liputan konflik di Afghanistan, Iraq, dan Syria untuk pelbagai penerbitan antarabangsa.
Jabatan Negara AS sebelum ini telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke Iraq atas faktor keselamatan. -BBC









