Penggunaan kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi syarikat yang ingin kekal relevan dalam pasaran global.
Menyedari potensi itu, Mandrill Tech turut memanfaatkan teknologi AI dalam perkhidmatannya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Davent Low berkata, penggunaan teknologi itu bukan sahaja membuka ruang kepada analisis data lebih tepat, malah meningkatkan produktiviti secara menyeluruh.
“Dengan kepakaran dalam mengintegrasi data dan AI, kami mampu memainkan peranan penting dalam membimbing syarikat tempatan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi pantas.
“Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan operasi, malah menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara secara mampan,” katanya baru-baru ini.
Syarikat teknologi ini turut diiktiraf The Asia Record sebagai rakan teknologi AI dan data terkemuka bagi transformasi perusahaan pada 2025.
Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan peranan Mandrill Tech dalam membantu organisasi mempercepatkan proses pendigitalan melalui penggunaan penyelesaian AI canggih yang lebih efisien dan berimpak tinggi.











