PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Berhad mencatatkan jumlah kendalian bulanan tertinggi dalam sejarahnya bagi segmen perniagaan kargo konvensional pada Mei lalu, dengan rekod 1.02 juta tan berat muatan (FWT).
Ia melepasi rekod yang dicatatkan pada Ogos 2013 iaitu sebanyak 968,356 FWT.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pencapaian tersebut adalah manifestasi kemampuan Northport dalam menangani cabaran yang disebabkan pandemik Covid-19.
Kata beliau, ia merupakan hasil dari usaha-usaha transformasi dalam operasi kargo konvensional, di mana mereka telah mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kecekapan operasi di kedua-dua terminalnya, iaitu Northpoint dan Southpoint.
“(Ia) termasuk mengoptimumkan ruang dan kemudahan penyimpanan, rasionalisasi peralatan jentera, rundingan semula kontrak bersama vendor, penambahbaikan proses melalui automasi sistem dan digitalisasi, pencarian data dan analisis serta menggalakkan transformasi melalui pengembangan bakat dan kecekapan dalam kalangan kakitangan.
“Langkah-langkah ini telah berjaya membantu kami menempuh segala rintangan terutama sekali permasalahan operasi, isu tenaga kerja serta cabarancabaran yang muncul akibat daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan dekat sini semalam.
Syarikat yang merupakan ahli kumpulan MMC itu mengendalikan 4.1 juta FWT kargo konvensional bagi lima bulan pertama 2021, pertumbuhan sebanyak 32 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut syarikat itu, penyumbang terbesar kepada kendalian yang tinggi itu ialah produk minyak sawit, bijirin serta besi dan keluli yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 80 peratus, 61 peratus dan 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah kendalian yang tinggi untuk kargo konvensional di Northport sebahagian besarnya disumbangkan oleh kejayaan pengendalian kapal pukal kering bersaiz besar di terminal.
“Northport kini mampu menawarkan produktiviti kapal sehingga 10,000 tan luput (DWT) setiap hari bekerja mengikut cuaca berikutan peningkatan proses dan produktiviti kerja. Hasilnya, sebanyak 12 kapal berkapasiti lebih daripada 80,000 DWT telah berlabuh di Northport sejak Julai lalu,” katanya. – UTUSAN










