WASHINGTON: Harga minyak global melonjak melepasi AS$110 (RM443.70) setong susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk menyerang infrastruktur kritikal Iran sekiranya negara itu tidak membenarkan kapal melalui Selat Hormuz.
Pada pagi Isnin di Asia, Brent meningkat 1.6 peratus kepada AS$110.85 (RM447.10), manakala minyak yang diniagakan di pasaran AS naik 0.8 peratus kepada AS$112.40 (RM453.35).
Dalam hantaran media sosial pada Ahad, Trump menegaskan AS akan menyerang loji kuasa dan jambatan jika laluan air strategik itu tidak dibuka menjelang Selasa.
Gangguan penghantaran minyak dan gas dari Asia Barat berlaku kerana Teheran mengancam kapal yang melalui selat sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS dan Israel sejak 28 Februari.
Selat Hormuz, laluan sempit yang menyalurkan sekitar 20 peratus penghantaran tenaga dunia, menjadi punca kenaikan harga tenaga global dan membimbangkan pasaran mengenai inflasi lebih tinggi.
Trump menangguhkan beberapa tarikh akhir kepada Iran untuk menghentikan ancaman terhadap kapal yang melalui Selat Hormuz, tetapi mengulangi tuntutannya dalam hantaran keras di platform Truth Social.
“Selasa akan menjadi Hari Loji Kuasa dan Hari Jambatan, digabungkan sekali, di Iran. Tidak akan ada yang seumpamanya!!! Buka Selat tu, atau kalian akan hidup di neraka – Tunggu sahaja! Segala puji kepada Allah. Presiden Donald J. Trump.”
Beberapa jam kemudian, dalam hantaran di platform yang sama, Trump menambah: “Selasa, 8:00 P.M. Waktu Timur!”
Trump memberitahu Fox News bahawa terdapat ‘peluang baik’ perjanjian dapat dicapai pada Isnin, tetapi menegaskan beliau sedang mempertimbangkan ‘memusnahkan semuanya dan mengambil alih minyak’ jika tiada persetujuan dicapai segera.- BBC










