PEPERANGAN yang dimulakan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari 2026 kini telah memasuki minggu kelima. Belum ada tanda-tanda yang jelas yang konflik ini akan berakhir dalam masa terdekat ini.
AS mengutarakan pelan 15 perkara ke atas Iran bagi membawa kepada perdamaian. Pelan itu seakan tidak berasaskan kepada logik percaturan kuasa dan politik antarabangsa.
Asas dalam 15 perkara itu berkisar kepada persoalan menamatkan Iran sebagai kuasa nuklear dan melemahkan kedudukan Iran di rantau Asia Barat dan secara tidak langsung tunduk kepada kuasa AS.
Ini tidak ada logiknya dengan perkembangan semasa yang sedang berlaku iaitu kedudukan Iran yang semakin kuat dan kedudukan AS yang seakan lemah secara relatifnya.

Kedudukan AS dilihat lemah bukan sahaja sebagai sebuah kuasa besar utama, tetapi juga dalam hubungannya dengan sekutu-sekutu utama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Sepanyol, Itali dan Perancis secara terbuka tidak memberikan sokongan kepada AS.
Permintaan AS dan kerjasama ketenteraan tidak diberikan oleh negara-negara sekutu NATO kepada AS. AS bukan lagi pemimpin pakatan NATO yang dihormati oleh negara sekutu yang sebelum ini dihormati sebagai pemimpin kuasa politik dan ketenteraan khususnya dalam menghadapi negara Islam dan negara dunia ketiga.
Perubahan percaturan kuasa dan kedudukan sebenar AS dalam politik dunia dan ketenteraan nampak jelas telah semakin lemah.
Bagaimana AS akan menghadapi ketenteraan Iran dengan kelemahan dalaman dan tanpa sokongan negara-negara sekutu Barat yang setia memberikan sokongan sebelum ini? Pelan 15 perkara yang diutarakan AS ternyata tidak menepati masa dan keadaan semasa.
Iran telah mengutarakan lima syarat asas bagi menuju perdamaian iaitu penghentian sepenuhnya pencerobohan dan pembunuhan sasaran, satu mekanisme yang kukuh bagi memastikan konflik yang sama tidak berulang pada masa akan datang, memberikan jaminan pembayaran ganti rugi perang secara jelas kepada Iran dan dua syarat lagi ialah penamatan perang di semua medan perang dan melibatkan semua kumpulan penentang di rantau Asia Barat dan pengiktirafan antarabangsa terhadap kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz.
Iran menegaskan bahawa sebarang penamatan peperangan hanya akan berlaku mengikut syarat-syarat dan garis masa yang ditetapkan oleh Iran.
Iran tidak sekali-kali bersetuju dan membenarkan Presiden AS, Donald Trump menentukan bila konflik ini akan tamat dan dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh AS. Iran sendiri akan menamatkan peperangan yang sedang berlaku apabila semua syarat-syarat yang dikemukakan oleh Iran itu dipenuhi.
Lima syarat yang dikemukakan oleh Iran mempunyai logik dan asas yang kukuh bagi membina keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau Asia Barat dan dunia antarabangsa amnya.
Syarat pertama iaitu pemberhentian sepenuhnya oleh pihak musuh (AS dan Israel) adalah sangat penting. AS dan Israel yang memulakan serangan haram ke atas Iran pada 28 Februari 2026 lalu.
Peperangan yang dilancarkan oleh AS dan Israel ini ternyata bercanggah dengan Artikel 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Sila rujuk Artikel 1 Piagam PBB bagi melihat apakah tujuan utama penubuhan PBB.
Artikel 1(1) hingga 1(4) adalah berkisar kepada membentuk kestabilan dan keamanan antarabangsa. Tindakan AS dan Israel pada 28 Februari itu jelas bercanggah dengan objektif dan falsafah penubuhan PBB.
Syarat kedua mempunyai asas yang kukuh bagi menjamin kestabilan dan keamanan serantau dan dunia. Satu mekanisme perlu bagi mengelak daripada berlakunya konflik pada masa akan datang.
AS selalu menyalahguna kuasa politik dan ketenteraan yang ada. Oleh kerana kekuatan yang ada pada AS, tindakannya sentiasa dilakukan tanpa dibendung. Adakah tindak balas yang dilakukan oleh Iran itu wajar apabila AS melancarkan serangan.
Bagi menjawab persoalan ini, Artikel 51 Piagam PBB perlu dirujuk iaitu berkaitan dengan ‘mempertahankan diri’ dan ‘serangan bersenjata’ yang dilakukan oleh sesebuah negara ke atas sesebuah negara. Adakah serangan AS dan Israel itu perlu tindak balas Iran berasaskan Artikel 51.
Jawapan mudahnya, tindakan Iran itu wajar dan tidak bercanggah dengan apa yang diperuntukkan dalam Artikel 51 Piagam PBB. Bagi memahami dengan lebih jelas tentang hal ini, Chapter VII Piagam PBB iaitu Artikel 39 hingga 51 perlu diteliti dengan mendalam.
Sejauh mana berkesan dan berkuasanya organisasi antarabangsa dalam menjamin keselamatan dan keselamatan dunia adalah persoalan lain.
Pembayaran ganti rugi perang kepada Iran juga adalah penting. AS dan Israel yang memulakan serangan. Serangan balas oleh Iran adalah berasaskan Artikel 51 Piagam PBB. AS dan Israel mesti bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada Iran terhadap kemusnahan harta benda dan nyawa yang terkorban.
Pengiktirafan antarabangsa terhadap hak dan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz juga penting. Ini adalah laluan penting yang mempengaruhi kestabilan dan kemakmuran ekonomi-politik dunia.
Salah penguasaan dan hak kedaulatan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi politik antarabangsa.Iran dilihat boleh memberi jaminan kepada kemakmuran ekonomi dan perdagangan berkaitan dengan Selat Hormuz ini.
Dalam keadaan konflik ini pun laluan ini tetap terjamin. Sekatan hanya dikenakan kepada pihak musuh dan mereka yang memberi sokongan kepada musuh Iran.
Lima syarat yang dikenakan oleh Iran ini dilihat mempunyai logik yang jelas bagi membina kestabilan dan keamanan jangka panjang di rantau Asia Barat dan dunia amnya.
Ia jauh berbeza dengan pelan 15 perkara yang diutarakan oleh AS yang dilihat menjaga kepentingan sebelah pihak dan menekan satu pihak lain yang memungkinkan kepada konflik yang berterusan.
Pelan 15 perkara itu bukan membawa kepada gencatan senjata perdamaian, tetapi sebaliknya dilihat kepada strategi politik dan pertahanan sebelah pihak yang tidak menuju kepada perdamaian dan kestabilan jangka panjang.
Ia perlu dibezakan antara strategi politik-pertahanan dan langkah damai membina keamanan dan kestabilan sebenar. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Felo Penyelidik Kanan, Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah,Kota Kinabalu.










