Berbelanja, jangan sampai boros. Berjimat, jangan sampai kedekut. Inilah pedoman bagi pengurusan kewangan kerajaan negeri Pahang di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pedoman ini terbukti berjaya, antaranya berlaku penambahbaikan dan peningkatan ketara kepada prestasi kewangan negeri dan kejayaan mengurangkan beban hutang kepada Kerajaan Persekutuan. Dengan ini, ada lebihan wang yang sebahagian tertentu dipulangkan kembali secara terus kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif bantuan demi meringankan beban mereka khususnya dalam mengharungi tempoh sukar akibat penularan serta langkah-langkah membendung pandemik Covid-19.
Terkini, pengumuman peruntukan RM17.1 juta di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar Fasa 1 dan 2 bagi menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disusuli penutupan penuh (total lockdown) seluruh negara.
Yang membanggakan tentang prestasi kewangan negeri ini ialah hasil sebenar dikutip mencecah angka RM800 juta pada 2019 dan 2020 serta Bajet Negeri 2019 ialah bajet negeri pertama dibentangkan pada 19 November 2018 oleh Wan Rosdy selaku Menteri Besar sejak pelantikan beliau ke jawatan itu pada 15 Mei 2018.
Akhir 2019, kutipan hasil sebenar ialah RM847.7 juta berbanding anggaran asal, RM703.8 juta atau lebihan (surplus) RM143.9 juta dengan prestasi pencapaian 120.5 peratus.
Hujung 2020, disebalik kekangan wabak Covid-19 dengan langkah tegas membendungnya bermula Mac 2020, kutipan hasil sebenar masih tinggi, RM850 juta berbanding anggaran asal, RM744.02 juta atau lebihan RM106 juta dengan prestasi pencapaian 114.2 peratus. Dengan sasaran hasil negeri RM1 bilion, ia dijangka dapat dicapai lebih awal, mungkin pada akhir tahun depan berdasarkan purata pencapaian hasil 117.4 peratus bagi tahun-tahun 2019 dan 2020 itu.
Kutipan hasil negeri yang mantap ini ialah susulan semakan semula kepada beberapa jenis cukai misalnya cukai balak yang terkesan, cuma golongan tertentu yang mampu menyerap kenaikan tersebut, bukan rakyat terbanyak. Ia juga mantap sebab usaha-usaha mengelak ketirisan yang kerajaan negeri perhebatkan. Penubuhan Unit Ketirisan Hasil, Unit Pasukan Khas dan Unit Penguatkuasaan Bersepadu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri banyak membantu. Misalnya, menerusi operasi penguatkuasaan tanah di Kampung Pamah Lebar di daerah Raub melibatkan kawasan seluas 80.3 hektar, berjaya mengekang kerugian hasil negeri kira-kira RM3.15 juta.
Menerusi Unit Pasukan Khas pula membolehkan kerajaan negeri mengutip RM31 juta tunggakan hasil tanah di seluruh negeri, susulan kerjasama jitu kesemua 11 Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di negeri itu.
TERJANGKIT
Kedudukan kewangan kerajaan negeri yang baik ini juga turut ‘terjangkit’ dan terpancar pada prestasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC) yang juga menjadi tumpuan khusus Wan Rosdy. Misalnya, nilai aset-aset tetap untuk kira-kira 40 S-GLC meningkat kepada RM9.24 bilion pada akhir 2019 daripada RM8.98 bilion pada 2018.
Keuntungan keseluruhan juga meningkat daripada hanya RM226.7 juta pada 2018 kepada RM329.95 juta akhir 2019.
Dengan penubuhan sebuah perbadanan dan lima S-GLC terbaharu, iaitu Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, Pahang Corporation, Pengurusan Pasir Pahang Berhad, Pahang Go, Pahang Water & Energy Resources dan Pahang Mining Corporation, prestasi keseluruhan S-GLC dijangka terus meningkat.
Dan sudah pun menjadi ketetapan kerajaan negeri bahawa sebahagian tertentu daripada keuntungan yang diperoleh oleh S-GLC ini hendaklah disumbangkan kembali kepadanya lalu menjadi sebahagian daripada sumber hasil tahunannya.
Sudah pastilah yang turut menjadi kebanggaan ialah apabila kerajaan negeri berjaya mengurangkan hutang dengan Kerajaan Persekutuan daripada asal RM3.229 bilion kepada hanya RM931 juta atau pengurangan sehingga lebih 70 peratus! Sebahagian besarnya ekoran kejayaan rundingan Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air Negeri Pahang yang tertunggak hampir lapan tahun dengan termeterai perjanjian mengenainya pada 23 Disember 2020. Melalui perjanjian ini, pinjaman bekalan air luar bandar bernilai RM2.074 bilion oleh kerajaan negeri diselesaikan menerusi RM1.001 bilion dihapus kira dan RM1.073 bilion lagi diinovasikan, lalu ditanggung oleh agensi Persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Selebihnya, RM224 juta meliputi pinjaman bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2012 sebanyak RM169 juta, dan lagi RM55 juta berupa pinjaman bagi membiayai bantuan kepada rakyat terkesan banjir besar pada 2014 dan 2015 telah ditukar kepada bentuk geran hasil rundingan dan diplomasi kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Segala kejayaan dikecapi sehingga kini kepada Wan Rosdy ialah juga sebab adanya kestabilan politik yang mana Pahang tidak pernah terputus pemerintahannya di bawah UMNO/Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama lagi, iaitu 1955.
Dan kestabilan itu turut disumbangkan kini oleh kerjasama erat UMNO/BN dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) dengan majoriti 33 kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri, hasil sumbangan UMNO/BN 25 kerusi dan Pas, lapan kerusi.
Menerusi perjanjian UMNO dan Pas negeri pada petang 28 April lalu bagi mengukuhkan lagi kerjasama MN demi mengelak pertembungan tiga penjuru pada PRU-15 kelak, kejayaan dijangka dapat diraih seterusnya mengekalkan kestabilan politik demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Pahang juga.
PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.










