GEORGE TOWN : Seorang warga emas meninggal dunia selepas hampir 10 jam bertarung nyawa akibat dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu laju dalam kejadian di Jalan Tun Dr. Awang, Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 2.55 petang semalam.
Ketika kejadian, lelaki yang berusia 71 tahun itu dikatakan sedang melintas jalan sebelum sebuah kereta jenis Honda City secara tiba-tiba meluru ke arah mangsa dan merempuhnya semasa menghampiri kawasan Bulatan Bayan Lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, akibat rempuhan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12.05 tengah malam tadi iaitu sewaktu sedang menerima rawatan,” katanya di sini, hari ini.
Swee Sake berkata, susulan kejadian itu, polis menahan pemandu kereta terbabit iaitu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian,” ujar beliau.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 12 saat menunjukkan seorang lelaki warga emas melambung selepas dirempuh oleh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan.-UTUSAN










