KLANG: Pemandu mabuk yang menyebabkan kematian penghantar sambilan, Allahyarham Amirul Hafiz Omar pada Ahad lalu berdepan hukuman gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh, R. Saktygaanapathy, 28, yang mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Saktygaanapathy didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.
Tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.
Selain itu, lelaki terbabit mengaku bersalah memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, kira-kira pukul 3.30 petang, pada hari sama.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen bagi laporan bedah siasat, patologi dan forensik.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala prosiding itu turut diikuti isteri Allahyarham, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, yang diwakili peguam pemerhati, Mohd. Faizi Che Abu.
Majistret Khartiyayini Ambualagan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 Jun depan.
Allahyarham Amirul Hafiz, sebelum ini dilaporkan maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta.
Lebih menyayat hati, insiden itu berlaku ketika Amirul keluar bagi membeli buku matematik untuk anak sulungnya.
Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa.-UTUSAN










