Trump tandatangan perintah eksekutif ketatkan undi pos

Trump tandatangan perintah eksekutif ketatkan undi pos

DONALD Trump memegang perintah eksekutif untuk mengehadkan undian melalui pos di Pejabat Oval, Rumah Putih di Washington, DC, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif bagi mengetatkan undian melalui pos, sekali gus memperhebat usaha menyekat kaedah popular dalam pilihan raya negara itu.

Langkah tersebut dibuat susulan serangan berterusan pemimpin Republikan itu terhadap sistem pilihan raya AS, berasaskan teori konspirasi yang tidak terbukti mengenai dakwaan penipuan oleh Demokrat.

Bagaimanapun, kuasa Trump untuk melaksanakan langkah berkenaan masih tidak jelas dan dijangka berdepan cabaran undang-undang, dengan keputusan muktamad kemungkinan ditentukan oleh Mahkamah Agung.

“Kami akan menyaman. Saya tidak menipu dan saya biasanya menang,” kata seorang peguam pilihan raya terkemukan Parti Demokrat, Marc Elias.

Menurut tinjauan, Republikan berdepan ancaman besar kehilangan kawalan tipisnya di Kongres pada pilihan raya pertengahan penggal November ini, khususnya di Dewan Rakyat.

Jika Demokrat berjaya merampas semula kawalan, mereka dijangka menyekat agenda Trump serta berpotensi mengemukakan usaha untuk memecatnya.

Trump sebelum ini giat menekan pelaksanaan langkah yang menurut pakar berkemungkinan menurunkan kadar keluar mengundi, dengan implikasi besar di kawasan yang keputusan pilihan rayanya ditentukan oleh perbezaan undi yang kecil.

Semasa menandatangani perintah eksekutif itu pada Selasa, Trump mengulangi dakwaan tanpa bukti yang menggambarkan sistem pilihan raya AS sebagai bermasalah.

“Penipuan dalam undian pos adalah sesuatu yang sudah terkenal. Ia sangat teruk. Mereka mahu menipu,” kata Trump, yang menyifatkan pemimpin Demokrat di Kongres sebagai ‘perasuah’.

Dakwaan palsu Trump bahawa beliau memenangi pilihan raya 2020 menentang Joe Biden menjadikannya presiden pertama dalam sejarah moden yang enggan menerima peralihan kuasa secara aman.

Tiada bukti dikemukakan oleh mana-mana pihak berkuasa yang boleh dipercayai mengenai pilihan raya 2020 atau mana-mana pilihan raya lain terjejas akibat penipuan.

Trump sendiri kerap mengundi melalui undian pos, termasuk baru-baru ini di Florida.

Semakan oleh Institusi Brookings terhadap data puluhan tahun yang dikumpulkan badan konservatif Yayasan Warisan menunjukkan hanya 39 kes penipuan daripada lebih 100 juta undi yang dibuang dalam 32 pilihan raya sepanjang tiga dekad.

Perintah pada Selasa itu dikeluarkan ketika Parti Republikan gagal meluluskan rang undang-undang sekatan pengundian yang lebih meluas dikenali sebagai Akta ‘SAVE America’.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN