PETALING JAYA: ADIA Global Sdn. Bhd. (ADIA) menekankan kepentingan pensijilan halal sebagai elemen utama dalam strategi pengembangan perniagaan, terutama untuk pasaran runcit dan eksport.
Pengasasnya, Norhaidah Samlee berkata, sejak syarikatnya menerima pensijilan halal dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) pada 2025, peluang untuk memasuki pasaran seperti pasar raya, stesen minyak, malah pasaran antarabangsa semakin terbuka luas.
“Sebagai pengilang produk sedia dimakan, pensijilan halal bukan sahaja memenuhi kehendak pelanggan tempatan, tetapi juga membolehkan produk kami diterima di peringkat global.
“Ia juga menjadi satu keperluan bagi syarikat makanan untuk berkembang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau menceritakan perjalanan perniagaan syarikat itu, bermula dengan Central Kitchen pertama sewaktu pandemik Covid-19 yang menghadapi pelbagai kekangan pergerakan, sebelum membuka kilang pertama di Bandar Bukit Raja.
“Pada mulanya, kilang ADIA Global telah berjaya mendapatkan sijil halal dan MeSTI pada 2022.
“Bagaimanapun, setelah lebih kurang tiga tahun beroperasi, kilang kami berpindah ke Telok Panglima Garang atas keperluan tertentu dan sekali lagi berjaya memperbaharui pensijilan halal dan MeSTI pada 2025,” jelasnya.
Beliau berkata, ADIA Global mengeluarkan pelbagai produk makanan seperti pes rendang, pes perapan, aneka sambal serta hidangan siap dimakan seperti rendang daging, dendeng dan ayam masak merah.
“Semua produk diproses menggunakan teknik retort moden yang memanfaatkan haba dan tekanan tinggi untuk membunuh mikroorganisma serta bakteria seperti Clostridium botulinum.
“Teknik ini memanjangkan jangka hayat produk sehingga dua tahun tanpa penggunaan bahan pengawet, sambil mengekalkan rasa dan nilai nutrisi serta membolehkan penyimpanan pada suhu bilik.
“Selain mengeluarkan produk sendiri, kami turut menawarkan perkhidmatan pengeluaran peralatan tulen (OEM) kepada pengusaha lain, membolehkan mereka menjenamakan produk masing-masing dengan standard halal yang sama,” ujarnya.
Beliau berkata, syarikat turut aktif mempromosikan produk melalui ekspo di luar negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan China dengan matlamat menembusi pasaran halal antarabangsa yang semakin berkembang.
“Pensijilan halal Malaysia diiktiraf seluruh dunia. Ini memberikan kelebihan kompetitif yang besar kepada pengusaha tempatan yang ingin melebarkan sayap ke pasaran luar,” katanya.
“Syarikat turut aktif mempromosikan produk terbaharu iaitu produk “Healty Snack” Tempeh Chips.
“Kami telah menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) selama satu tahun demi menghasilkan produk berkualiti dan akhirnya “Tempeh Chips telah mula dibawa ke beberapa ekspo di luar negara termasuk Singapura,” jelasnya. – UTUSAN










