PETALING JAYA: Orang Melayu tidak mampu menjadi Perdana Menteri sekiranya wujud terlalu banyak parti politik yang mengakibatkan perpecahan sesama mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perpecahan dalam kalangan parti politik khususnya melibatkan orang Melayu antara faktor utama yang menjejaskan peluang untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) sekali gus membentuk kerajaan.
Menurutnya, kemenangan dalam PRU juga adalah penentu utama bukan semata-mata kedudukan dalam parti.
“Jika berpecah kepada banyak parti, tiada satu pun yang akan menang PRU.
“Tanpa kemenangan mustahil seseorang itu boleh menjadi Perdana Menteri walaupun mendapat sokongan dalam parti sendiri.
“Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk berebut menjadi ketua parti jika akhirnya tidak membawa kepada kemenangan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Antara parti politik utama berteraskan Melayu, bumiputera dan Islam ialah UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Bagi parti politik masyarakat Cina, antara yang utama ialah MCA dan DAP.
Sementara itu, bagi masyarakat India, parti yang terlibat ialah MIC dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Dr. Mahathir turut menegaskan bahawa peluang untuk membentuk kerajaan hanya boleh dicapai sekiranya wujud kesatuan yang kukuh, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
Katanya, terlalu ramai calon yang bertanding hanya akan memecahkan undi dan akhirnya menyebabkan semua calon berdepan kekalahan.
“Yang penting adalah memastikan calon yang dipilih mampu menang, bukan sekadar berlumba menjadi ketua parti atau calon Perdana Menteri,” katanya.
Menurutnya lagi, perpaduan dan strategi yang tersusun lebih penting dalam memastikan kejayaan dalam PRU berbanding persaingan dalaman yang berlebihan.-UTUSAN.










