Mental Harimau Malaya kena kuat lawan Vietnam

Mental Harimau Malaya kena kuat lawan Vietnam

Pemain skuad Harimau Malaya, Daniel Ting cuba melakukan sepakan gunting dalam latihan di Bangkok, semalam. Malaysia akan menentang Vietnam dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun pertemuan Malaysia menentang Vietnam hanya sekadar melengkapkan jadual kelayakan Piala Asia 2027 namun skuad Naga Emas itu tidak mengambil ringan terhadap persedian mereka.

Skuad kendalian Kim Sang-sik mengasah taring mereka dengan bertemu Bangladesh dalam satu persahabatan yang berkesudahan Vietnam menang bergaya 3-0, Khamis lalu.

Vietnam yang menguasai permainan sebaik sahaja wisel permainan dibunyikan telah menurunkan pemain sayap berpengalaman, Nguyen Quang Hai, Pham Tuan Hai dan pemain naturalisasi mereka, Do Hoang Hen.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, keputusan perlawanan itu jelas menunjukkan Vietnam tidak mengambil mudah pertemuan Malaysia walaupun mereka sudah layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.

“Saya percaya, di satu sudut Vietnam pasti menyimpan dendam di sebalik kekalahan mereka kepada kita sebelum ini. Mereka pasti melakukan perancangan rapi malah sempat mengadakan satu aksi persahabatan.

“Itu jelas menunjukkan mereka mengambil serius untuk menentang Malaysia. Beraksi di laman sendiri pasti membuatkan semangat mereka lagi berkobar-kobar,” katanya.

Bagaimanapun, Zulakbal berkata, walaupun apa pun skuad kendalian Peter Cklamovski itu tidak boleh mengalah selagi wisel penamat belum dibunyikan.

“Bagi saya kedua-dua pasukan pasti buat persiapan rapi dan skuad kebangsaan tidak boleh mengalah sebelum perlawanan bermula. Ini semua mainan psikologi. Mental pemain kita kena kuat,” katanya.

Vietnam akan melayan kunjungan Malaysia pada aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Selasa ini.

Vietnam sudah pun layak ke pusingan akhir Piala Asia dengan 15 mata manakala Malaysia dipotong enam mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berikutan menurunkan pemain tidak layak ketika bertemu Nepal dan Vietnam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×