Dron murah ubah landskap serangan udara

Dron murah ubah landskap serangan udara

TENTERA AS berdiri di sebelah pelancar peluru berpandu sistem Patriot semasa latihan demonstrasi serta integrasinya ke dalam sistem kawalan di Sochaczew di Poland. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMA beberapa dekad, penguasaan ruang udara banyak dimonopoli oleh negara kaya yang mampu membiayai pesawat canggih serta latihan mahal untuk juruterbang.

Namun, kemunculan dron serangan murah kini mula menghakis kelebihan itu, memberikan keupayaan kepada pihak yang lebih kecil atau kurang berkemampuan untuk melancarkan serangan berkesan.

Amerika Syarikat (AS) pula sejak sekian lama bergantung kepada bajet ketenteraan yang besar bagi mengoperasikan antara pesawat paling mahal di dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam operasi dikenali sebagai ‘Operation Epic Fury’ di Iran, tentera AS mengerahkan pelbagai aset udara termasuk F-15 Eagle, F-35 Lightning II, F-22 Raptor, F-16 Fighting Falcon, A-10 Thunderbolt II, B-2 Spirit, EA-18G Growler, F/A-18 Hornet, P-8A Poseidon, MQ-9 Reaper serta dron LUCAS.

Di ruang udara, kira-kira 200 pesawat pejuang digunakan dalam misi serangan. Buat pertama kali, pesawat generasi baharu F-35 turut dikerah secara meluas selepas berdepan isu kos dan kelewatan sebelum ini.

Selain itu, pengebom jarak jauh berkeupayaan membawa puluhan ribu paun alat letupan turut memainkan peranan penting, manakala pesawat lain digunakan untuk tujuan pengisian bahan api di udara dan pengawasan.

Dalam kategori tanpa pemandu, MQ-9 Reaper dikendalikan dari stesen kawalan darat. Turut digunakan buat pertama kali adalah dron serangan sehala FLM-136 LUCAS, yang mempunyai ciri hampir sama dengan dron Shahed milik Iran yang sangat popular.

Dron Shahed-136 adalah dron serangan sehala yang terbang ke sasaran dan meletup ketika berdepan impak kuat.

Iran sudah lama melabur dalam pembangunan dron serta membekalkannya kepada sekutu, dan kini menggunakannya secara besar-besaran. Sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, Teheran melepaskan ratusan peluru berpandu dan lebih 1,000 dron ke arah Israel serta negara Teluk yang bersekutu dengan Washington.

Strategi ini bergantung kepada kuantiti berbanding ketepatan, dengan pelancaran serentak dalam jumlah besar untuk menembusi pertahanan udara. Kos penghasilan dron pula jauh lebih rendah, dianggarkan satu dron Shahed berharga antara AS$20,000 (RM79,872) hingga AS$50,000 (RM199,680) seunit, menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS).

Menurut perbandingan yang dibuat Reuters, kos satu peluru pemintas sistem Patriot mencecah sekitar AS$4 juta (RM15.97 juta). Dengan jumlah itu, kira-kira 115 dron serangan sehala yang berharga sekitar AS$35,000 (RM139,766) setiap satu boleh dihasilkan.

Dalam minggu pertama konflik sahaja, Iran melancarkan lebih 1,000 dron dan dianggarkan mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 10,000 unit sebulan.

Teknologi peperangan berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang jelas dapat dilihat dalam konflik Ukraine-Russia. Apa yang bermula sebagai peperangan yang didominasi kereta kebal dan artileri kini semakin berubah menjadi peperangan dron.

Berhadapan kekurangan dari segi kenderaan berperisai dan pesawat, Ukraine beralih kepada sistem tanpa pemandu kos rendah untuk pengawasan dan serangan. Dron dianggarkan menyumbang kira-kira 70 peratus korban di pihak Russia, membolehkan serangan dilakukan dari jarak jauh serta mengurangkan risiko kepada juruterbang dan kru.

Pesawat paling berkuasa AS pula bergantung kepada kru yang sangat terlatih.

Sebagai contoh, pesawat dua tempat duduk seperti F-15 memerlukan latihan bertahun-tahun dengan kos yang tinggi. Jika pesawat itu ditembak jatuh, AS bukan sahaja kehilangan pesawat, malah berisiko kehilangan nyawa dan kepakaran berharga krunya.

Sebaliknya, dron kos rendah dikendalikan dari jauh. Jika dron dimusnahkan, pengendalinya tidak terkorban dan kos penggantian hanya puluhan ribu dolar.

Seorang pegawai kanan Pentagon sebelum ini memberi amaran menggunakan peluru bernilai jutaan dolar untuk menembak jatuh dron bernilai ribuan kali ganda lebih rendah bukanlah keseimbangan kos yang berkesan, meningkatkan kebimbangan ekonomi pertahanan udara kuasa besar semakin tidak mampan.

Ketidakseimbangan ini sudah kelihatan di laut. Sejak akhir 2023, Tentera Laut AS membelanjakan sekitar AS$1 bilion (RM3.99 bilion) atau lebih bagi mendapatkan peluru untuk mempertahankan kapal di Laut Merah daripada serangan dron dan peluru berpandu kos rendah kumpulan Houthi.

Isu sistem pertahanan anti-dron yang masih ketinggalan turut mendedahkan kelemahan dalam pertahanan udara AS. Pelbagai teknologi anti-dron sedang dibangunkan, termasuk pengganggu elektronik, dron pemintas dan senjata laser berkuasa tinggi yang mampu melumpuhkan sasaran pada kelajuan cahaya.

Banyak sistem ini berpotensi mengurangkan kos pertahanan kerana menggunakan tenaga elektrik atau platform boleh guna semula, namun kebanyakannya masih terhad dari segi jarak, kuasa, ketahanan cuaca dan skala, serta masih di peringkat ujian.

Sehingga sistem ini matang dan boleh digunakan secara meluas, angkatan tentera masih bergantung kepada peluru pertahanan udara sedia ada untuk menangkis dron yang mengancam kapal, pangkalan dan bandar.

Cabaran utama bagi AS dan sekutunya adalah sama ada teknologi anti-dron dapat berkembang dengan cukup pantas dan kos efektif untuk menyaingi peningkatan dron serangan, atau pertahanannya akan terus bergantung kepada peluru pemintas yang mahal. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini