Piastri tinggalkan Mercedes untuk catatan terpantas

Piastri tinggalkan Mercedes untuk catatan terpantas

Pelumba pasukan McLaren, Oscar Piastri mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas kedua GP Jepun sekali gus menafikan penguasaan Mercedes pada sebelah pagi di litar Suzuka, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUZUKA: Oscar Piastri daripada pasukan Formual Satu (F1) McLaren mencatat masa terpantas dalam sesi latihan kedua Grand Prix Jepun, mengatasi jentera Mercedes yang dipandu Kimi Antonelli dan George Russell.

Pelumba Australia itu mengingatkan semua tentang bakatnya dengan catatan masa 1 minit 30.133 saat dalam keadaan cuaca kering dan cerah di Suzuka.

Antonelli, pelumba Itali berusia 19 tahun yang memenangi grand prix pertama dalam kerjayanya di China dua minggu lalu, berada di tempat kedua, 0.092 saat di belakang Piastri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendahulu awal kejuaraan, Russell, yang mencatat masa terpantas dalam sesi latihan pagi mengatasi Antonelli, berada di tempat ketiga.

Piastri mengalami permulaan musim yang buruk, terlibat dalam kemalangan ketika menuju ke grid pada perlumbaan pembukaan di Australia dan gagal memulakan grand prix di China akibat masalah teknikal.

Beliau menyifatkan hari di Jepun sebagai ‘hari yang memuaskan’, dengan rakan sepasukan McLaren dan juara dunia Lando Norris mencatat masa keempat terpantas.

“Kami merasakan kami telah membuat kemajuan yang baik, terutamanya dalam sesi latihan kedua, yang memberi galakan.

“Perasaan ini positif dan kami telah mengumpul data berharga yang meletakkan kami dalam kedudukan yang kukuh,” kata Piastri.

Mercedes setakat ini muncul sebagai pasukan yang perlu ditewaskan dengan meraih kedudukan satu-dua dalam kedua-dua grand prix setakat ini.

Mereka sekali lagi berada di hadapan dalam sesi latihan pagi apabila Russell mendahului Antonelli di tangga teratas catatan masa, diikuti Norris dan Piastri.

Piastri mengatasi kedua-dua Silver Arrows pada sebelah petang dan Russell mengakui kelajuan McLaren agak mengejutkan.

“Sejujurnya, saya tidak nampak sebab mengapa ia tidak tulen,” kata Russell, yang 0.205 saat lebih perlahan daripada Piastri.

Sementara itu, Norris menamatkan sesi latihan dengan kuat selepas tidak mengambil bahagian pada separuh pertama akibat kebocoran hidraulik.

Pelumba Britain itu, yang juga tidak memulakan Grand Prix China akibat masalah teknikal berbeza daripada Piastri, turut terlepas separuh sesi latihan pagi.

“Di litar seperti ini, anda hanya mahukan pusingan untuk membina keyakinan dan memperhalusi tetapan kereta, dan ketika ini kami dua atau tiga langkah ketinggalan tanpa larian panjang dan masa pemanduan berterusan yang sangat terhad,” kata Norris.

Charles Leclerc berada di tempat kelima di hadapan rakan sepasukan Ferrari, Lewis Hamilton.

Hamilton, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di China untuk podium pertamanya sejak menyertai Ferrari, berkata melalui radio pasukan bahawa beliau “sangat perlahan kerana tidak mempunyai keyakinan terhadap kereta”.

Juara dunia empat kali Red Bull, Max Verstappen, berada di tempat ke-10, 1.376 saat lebih perlahan daripada Piastri.

Alex Albon melalui pagi yang penuh insiden dan sekali lagi terlibat dalam situasi mencabar dalam sesi latihan kedua.

Pelumba Williams itu hampir melanggar Pierre Gasly dari Alpine di pit dan kemudian terhenti beberapa saat di atas litar sebelum kembali mendapat kuasa.

Albon turut terlibat dalam kemalangan dengan Sergio Perez dari Cadillac pada sesi pagi dan juga tergelincir ke kawasan kerikil sebelum melanggar penghadang.

Fernando Alonso dari Aston Martin mengambil bahagian dalam sesi latihan petang selepas digantikan oleh pemandu simpanan Jak Crawford pada sesi pagi.

Alonso tiba lewat di Jepun selepas kelahiran anak pertamanya. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN