SUZUKA: Ferrari tidak lagi mahu sekadar menjadi pelengkap grid apabila menyasarkan untuk ‘mengganggu’ dominasi Mercedes pada Grand Prix (GP) Jepun di Litar Suzuka, hujung minggu ini.
Nada itu disuarakan sendiri pelumba utamanya, Charles Leclerc yang melihat peluang di awal perlumbaan sebagai senjata utama menekan jentera Silver Arrows.
Realitinya, Mercedes masih berada di tahap berbeza selepas menyapu bersih dua kemenangan awal musim termasuk perlumbaan pecut di Shanghai.
Namun, Ferrari tetap ada ‘modal’ apabila permulaan pantas mereka sebelum ini membolehkan Leclerc dan rakan sepasukan, Lewis Hamilton mencuri posisi di hadapan sebaik lampu dipadamkan.
“Saya tidak rasa jurangnya sedekat yang orang sangkakan kerana setiap kesilapan kecil boleh menyebabkan kehilangan masa yang besar dengan jentera sekarang.
“Satu-satunya peluang kami adalah untuk mengganggu mereka pada beberapa pusingan awal, tetapi apabila mereka mendapat ‘free air’, mereka akan tunjukkan kelajuan sebenar yang masih ada kelebihan empat hingga lima persepuluh saat,” kata Leclerc.
Kenyataan itu menggambarkan Ferrari sedar kekangan sebenar mereka, namun tetap memilih pendekatan agresif dengan mempertaruhkan taktikal awal perlumbaan sebagai senjata utama.
Dalam masa sama, Leclerc memberi bayangan perang pembangunan bakal menjadi penentu musim ini, sekali gus menjadikan aksi di Suzuka sebagai medan penting sama ada Ferrari mampu menggugat atau terus sekadar ‘kacau daun’ kepada Mercedes. – AGENSI/UTUSAN










