GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) telah turun padang dua hari selepas kejadian untuk memeriksa sebuah restoran yang tular di media sosial susulan penemuan kaki lipas dalam hidangan makanannya, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen ketika mengesahkan perkara itu berkata, hasil pemeriksaan mendapati, tahap kebersihan di premis tersebut adalah memuaskan, namun, perlu menjalani beberapa proses penambahbaikan.
Sehubungan itu katanya, arahan pembetulan dan penambahbaikan telah dikeluarkan kepada premis terbabit bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap kehendak Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Selain itu, pihak pengusaha turut diberikan pendidikan kesihatan yang merangkumi amalan kebersihan premis, pengendalian makanan yang selamat serta pematuhan kepada peruntukan perundangan yang berkuat kuasa,” katanya di sini, hari ini.
Daniel berkata demikian ketika menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung isu kebersihan makanan yang melibatkan sebuah restoran di Lorong Pitt di sini, baru-baru ini.
Isu itu menjadi tular apabila ia dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan ke dalam laman Facebook selepas seorang kakitangannya bersama keluarga singgah untuk makan di restoran berkenaan pada 14 Mac lalu.
Kata Kumaresan, aduan rasmi mengenai perkara itu juga telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta pihak berkuasa kesihatan, namun, beliau mendakwa, tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.
Sementara itu, Daniel berkata, JKNPP sentiasa komited dalam memastikan tahap keselamatan makanan di Pulau Pinang berada pada tahap yang tinggi dengan melakukan pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala.
“Dalam hal ini, JKNPP juga amat menghargai kerjasama orang ramai dalam menyalurkan aduan serta maklumat berkaitan keselamatan makanan kerana kerjasama ini amat penting dalam membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.-UTUSAN










