Harga RON 95 subsidi kekal RM1.99

Harga RON 95 subsidi kekal RM1.99

KERAJAAN dijadual membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, konflik Asia Barat yang berlarutan telah melonjakkan harga minyak mentah global lebih 40 peratus hingga melepasi AS$100 setong.

Katanya, ini sekaligus meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia. Dalam keadaan ini,

“Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk melindungi rakyat.

“Manakala harga bahan api lain diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah MOF, kerajaan akan terus memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada tekanan kenaikan kos bahan api menerusi beberapa langkah intervensi bersasar.

Antara langkah yang diambil termasuk pelaksanaan program BUDI95 yang membolehkan rakyat layak terus menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel bagi sektor pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.

“Selain itu, bantuan diesel individu turut dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu serta BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 mulai Mac 2026 berbanding RM200 sebelum ini.

“Kerajaan juga memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil di samping membendung ketirisan serta penyalahgunaan subsidi, termasuk di kawasan sempadan,” katanya.

Dalam masa sama, MOF juga berkata, kawalan penjualan bahan api diperketat dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus dikuatkuasakan, manakala pembelian melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas tidak dibenarkan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan turut merancang untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan yang berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×