PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengedarkan barangan keperluan asas dan wang saku kepada 9,918 orang asnaf sejak 27 April lalu bagi membantu mereka yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Sumbangan barangan seperti beras, gula, biskut, serbuk teh, tepung, kurma, barangan dapur dan lain-lain.
Sumbangan itu telah diedarkan menerusi pelbagai program anjuran TNB bagi meringankan beban penerima sepanjang Ramadan dan Syawal selain menceriakan sambutan dua bulan yang mulia itu.
Chief Global Business Solutions Officer TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, TNB telah memperuntukkan sejumlah RM420,000 untuk program-program penyerahan bantuan keperluan asas tersebut bagi memenuhi komitmennya sebagai warga korporat yang prihatin.
“Sumbangan kecil kami ini diharap dapat meringankan beban keluarga penerima bantuan dan pada masa yang sama mengeratkan silaturahim kami dengan masyarakat yang memerlukan.
“Berikutan pelaksanaan PKP 3.0, sebahagian bantuan diserah secara terus dengan warga kerja kami menyantuni penerima bantuan dengan menyerahkan barangan dari rumah ke rumah, termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pendekatan itu juga dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat.
Selain berkongsi rezeki bersama golongan yang terkesan akibat kekangan PKP 3.0 ketika ini, TNB juga menyokong usaha pelaksanaan program vaksinasi negara.
TNB menyokong dengan memastikan hampir semua warga kerjanya mendaftar untuk vaksinasi serta memastikan bekalan elektrik ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) dan Pusat Simpanan Vaksin (PSV) berada dalam keadaan baik dan teratur. – UTUSAN










