PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes samun dengan menyamar sebagai pegawai imigresen di sekitar ibu negara.
Penahanan lelaki berusia 32 tahun dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi kira-kira pukul 1.30 tengah hari hasil maklumat awam semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, beberapa barangan dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan termasuk pakaian, sebuah motosikal, topi keledar dan sebuah beg penghantaran makanan turut dirampas.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen kepada warga asing sebelum meminta mangsa menyerahkan pasport.
“Suspek kemudian melarikan dompet dan wang tunai milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, hasil penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan dua kes samun yang dilaporkan sebelum ini.
Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Suspek kini masih direman bagi siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN











