KENANGAN manis menyambut Aidilfitri di Mekah mendorong jurusolek profesional kembali ke Tanah Suci buat tahun kedua berturut-turut.
Walaupun pada mulanya bimbang dengan situasi konflik di Asia Barat, namun Ayangkamell Ibrahim, 52, bersyukur perjalanan umrahnya dipermudahkan.
Dia bersama 40 ahli rombongan tiba di Jeddah pada 18 Mac lalu sebelum meneruskan perjalanan selama enam hari ke Madinah.
“Suasana Syawal di sini tidak semeriah di tanah air, kerana ‘raya’ yang sebenar bagi para jemaah ialah mengejar malam Lailatul Qadar di akhir Ramadan.
“Apatah lagi pahala umrah di bulan Ramadan ini bersamaan dengan menunaikan ibadah haji,” katanya.
Kata Ayangkamell, kali ini Masjidil Haram tidak sesak seperti tahun sebelumnya, sekali gus membolehkan ibadah tawaf dilakukan dengan lebih selesa.
Malah, kawalan pasukan keselamatan juga dilihat kurang ketat, di sebalik ketegangan akibat perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran.
“Saya dengar ura-ura jemaah dari beberapa negara tidak dibenarkan masuk ke Mekah, mungkin itulah antara sebab kepadatan di sini berkurangan.
“Dari segi harga barang pula, saya perhatikan tiada kenaikan ketara berbanding tahun lalu.
“Boleh dikatakan, konflik tersebut tidak menjejaskan suasana di Tanah Suci dan alhamdulillah, segala urusan jemaah berjalan lancar,” ujarnya.
Kali kedua menunaikan ibadah di Tanah Suci menjadikan dirinya lebih tersusun dan bijak mengatur masa.
Paling manis, dia berpeluang bersolat di kawasan mataf yang sangat hampir dengan Kaabah.
Katanya, peluang keemasan itu sukar diperoleh memandangkan jumlah jemaah yang ramai terutama pada bulan Ramadan.
“Tahun lalu saya tidak berpeluang menikmatinya tetapi tahun ini saya direzekikan untuk merasai keindahan itu,” katanya.










