Mekanik maut dirempuh kereta di lebuh raya SUKE

Mekanik maut dirempuh kereta di lebuh raya SUKE

NAAZRON ABDUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 0.3 Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.56 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta terbabit yang datang dari arah Kajang dipercayai dipandu laju dan secara melulu ketika memasuki jalan susur menghala ke Ampang.

“Pemandu dipercayai memotong sebuah kenderaan lain sebelum melanggar motosikal mangsa yang berada di lorong kanan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemandu kereta berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing telah ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×