PETALING JAYA: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang giat meneliti sumber alternatif bagi gas dan bahan api sekiranya sekatan di Selat Hormuz berterusan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Petronas turut mengkaji pendekatan negara lain di rantau Asia Pasifik termasuk Australia dalam menangani isu bekalan minyak.
“Petronas sedang melihat pelbagai pelan untuk mencari sumber alternatif sekiranya gas atau minyak tidak dapat melalui Selat Hormuz yang kini berdepan konflik.
“Mereka juga meneliti langkah yang diambil Australia serta negara lain di Asia Pasifik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama pemimpin tempatan Petra Jaya di Pusat Konvensyen CIDB, Sarawak, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Petronas ketika ini bersedia dari segi sumber alternatif dan bekalan tenaga negara masih berada pada tahap stabil.
Katanya, kerajaan sedang mempertimbangkan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) bagi kategori tidak kritikal dan keputusan dijangka diumumkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Rakyat perlu mengamalkan penjimatan penggunaan sumber semula jadi termasuk menetapkan suhu pendingin hawa di premis kerajaan pada maksimum 24 darjah Celsius.
“Langkah ini dapat mengurangkan penggunaan gas,” katanya.
Mengulas kemungkinan harga minyak mentah Brent mencecah AS$150 setong, Fadillah berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan sumber tenaga negara terjamin.
“Setakat ini, kita masih mampu menampung subsidi RON95 dan diesel walaupun berlaku kenaikan harga pasaran, namun terdapat kumpulan tertentu termasuk sektor logistik yang menerima manfaat melalui penggunaan kad fleet. Sabah dan Sarawak juga menikmati subsidi diesel.
“Kita perlu memastikan bekalan mencukupi, mengurangkan aktiviti penyeludupan serta memastikan pemain industri mematuhi peraturan bagi menjamin keselamatan tenaga negara,” katanya.-UTUSAN









