Pakistan-Afghanistan umum gencatan senjata Aidilfitri - Utusan Malaysia

Pakistan-Afghanistan umum gencatan senjata Aidilfitri

PEGAWAI Taliban dan sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan menunaikan solat jenazah bagi mangsa serangan udara Pakistan semasa pengebumian besar-besaran di Badam Bagh Hilltop di Kabul. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Pakistan dan Afghanistan mengumumkan penghentian sementara pertempuran sempena Hari Raya Aidilfitri selepas serangan paling maut dalam konflik yang memuncak dan meragut ratusan nyawa di Kabul awal minggu ini.

Kerajaan di Islamabad dan Kabul dalam kenyataan berasingan memaklumkan Arab Saudi, Qatar serta Turkiye telah meminta supaya pertempuran dihentikan semasa sambutan Aidilfitri dengan kedua-dua pihak bersetuju.

Serangan rentas sempadan semakin meningkat sejak bulan lalu, dengan Pakistan menuduh pihak Taliban melindungi kumpulan ekstremis yang melakukan keganasan di wilayahnya. Afghanistan menafikan dakwaan tersebut.

Pada malam Isnin, jet-jet Pakistan menyerang sebuah pusat pemulihan dadah di ibu negara Afghanistan. Ia kemudian mencetuskan seruan baharu supaya serangan dihentikan serta-merta dan rundingan diadakan bagi menamatkan pertumpahan darah.

Menteri Penerangan Pakistan, Attaullah Tarar berkata, kerajaan bersetuju menghentikan operasi dari Khamis hingga Isnin dengan niat baik dan selaras dengan norma Islam.

Beliau memberi amaran operasi akan disambung semula dengan lebih hebat sekiranya berlaku sebarang serangan rentas sempadan, serangan dron atau insiden keganasan menyasarkan Pakistan.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid pula berkata, mempertahankan Afghanistan adalah tanggungjawab nasional dan agama. Justeru, negara itu akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman, tambahnya.

Pihak berkuasa Taliban menyatakan kira-kira 400 orang terbunuh dan lebih 200 cedera dalam serangan yang berlaku pada Isnin.

Sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah Afghanistan membawa puluhan keranda kayu ke sebuah kubur besar di Kabul. Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Sirajuddin Haqqani menyifatkan mangsa-mangsa adalah orang awam tidak bersalah yang menjadi sasaran penjenayah.

Beliau memberi amaran pelaku akan menerima akibatnya namun turut menekankan kerajaan lebih cenderung kepada penyelesaian melalui diplomasi.

Konflik ini mencetuskan gesaan antarabangsa untuk menghentikan keganasan, dengan jumlah korban awam terus meningkat dan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Usaha mediasi setakat ini gagal menemui penyelesaian. Fokus negara-negara Teluk yang sebelum ini mengetuai usaha rundingan kini beralih kepada situasi serantau berikutan serangan AS-Israel ke atas Iran bulan lalu.

China sudah menghantar utusan khas untuk membantu meredakan ketegangan, manakala Wakil Khas Russia ke Afghanistan, Zamir Kabulov menyatakan kesediaan Moscow menjadi perantara jika diminta kedua-dua pihak.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×