KUALA TERENGGANU: Setiap kali menjelang Syawal, Faridah Mamat, 50, sibuk membungkus ketupat daun palas di gerainya di Kampung Manir, di sini bagi memenuhi permintaan pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Peniaga dari Kampung Tetambah itu berkata, ketupat daun palas antara juadah tradisi yang menjadi pilihan orang ramai untuk dihidangkan pada pagi hari raya.
Katanya, dia sudah hampir dua dekad mengusahakan perniagaan tersebut selepas mula menjual ketupat daun palas ketika berusia 32 tahun.
Bagi memastikan pengeluaran dapat diuruskan dengan baik, dia tidak menerima sebarang tempahan sebaliknya menjual terus kepada pelanggan yang ke gerainya.
“Biasanya pelanggan datang terus ke gerai untuk beli ketupat. Saya memang tidak ambil tempahan kerana jumlah yang dihasilkan bergantung kepada kemampuan kami.
“Bagi setiap 10 kilogram beras pulut, saya boleh menghasilkan kira-kira 500 biji ketupat daun palas,” katanya ketika ditemui di gerainya.
Faridah berkata, menjelang seminggu sebelum Aidilfitri, dia mampu menghasilkan sehingga 800 biji ketupat sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat. – UTUSAN











