PATTANI (THAILAND): Lima anggota polis cedera apabila pos kawalan mereka di Mukim Tha Nam, Daerah Panare di sini, diserang kumpulan pemisah menggunakan bom motosikal roda tiga atau bom choley, kelmarin.
Kejadian pukul 6.58 petang waktu tempatan itu berlaku setengah jam selepas waktu berbuka puasa.
Difahamkan, kejadian itu dilakukan kumpulan pemisah sebagai balas dendam terhadap pihak berkuasa yang menyebabkan kematian dua rakan mereka dalam tempoh enam hari lalu di Daerah Nong Chik, di sini.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, susulan kejadian itu pihak berkuasa sedang meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan sebuah pikap yang dipercayai terlibat membantu serangan itu.
Katanya, dalam kejadian itu, penyerang menggunakan motosikal roda tiga yang dipenuhi alat letupan buatan sendiri (IED) sebelum meletakkannya berhampiran pos kawalan berkenaan di Kampung Ban Kha, Mukim Tha Nam.
“Kaedah pengeboman itu dikenali sebagai bom choley. Selepas meletakkan motosikal dekat pos kawalan itu, penunggang melarikan diri menaiki sebuah pikap yang mengekorinya.
“Penyerang menunggu saat anggota polis berada di pos kawalan sebelum meletupkan bom berkenaan menyebabkan lima cedera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.-UTUSAN











