TANAH MERAH: Sebuah keluarga dari Kampung Kutan, Tumpat dekat sini menerima ujian berganda apabila hilang tiga waris dalam tempoh 48 jam akibat kemalangan dan penyakit kanser.
Ibu saudara mereka, Wan Rokiah Wan Ahmad, 64, maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Machang-Tanah Merah, berhampiran Bandar Baru Tanah Merah, kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.
Kemalangan itu turut mengorbankan Nur Zara Zakirah Abdul Aliyy, 14, iaitu cucu kepada warga emas berkenaan yang meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Difahamkan, semasa kejadian, mangsa bersama suaminya, anak perempuan dan dua lagi cucunya dalam perjalanan dari Rawang, Selangor untuk menghadiri majlis pengebumian anak saudaranya, Wan Nor Asma Hani Wan Mohd. Najid, 43, yang meninggal dunia akibat kanser.
Anak saudara wanita berkenaan, Wan Mohd. Azana, 57, berkata, Wan Nor Asma Hani meninggal dunia di Serdang, Selangor dan jenazah adiknya itu dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Kutan.
“Sebaik sahaja ibu saudara saya mengetahui berita itu, dia terus bertolak ke Kelantan. Kali terakhir saya menghubunginya malam tadi (semalam), arwah berada di Kuala Lipis.
“Emak saudara saya ada memberitahu dia terserempak dengan van jenazah yang membawa jenazah adik. Tidak lama kemudian, saya dihubungi anak perempuan sulung arwah yang memaklumkan bahawa berlaku kemalangan dan ibu mereka tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah, semalam.
Wan Mohd. Azan berkata, selepas itu, jenazah adiknya selamat tiba di rumah pada pukul 3.30 pagi.
Katanya, sejam kemudian dia dan seluruh keluarga dikejutkan dengan berita ibu saudaranya maut dalam kemalangan
“Sejurus selepas urusan pengebumian jenazah Wan Nor Asma Hani selesai, kami terus ke Hospital Tanah Merah untuk urusan pengkebumian jenazah ibu saudara. Jenazah arwah dan cucunya dikebumikan di Rawang, Selangor,” ujarnya. – UTUSAN











