KOTA BHARU: Aroma Ayam Percik Kak Jah yang yang dibakar menggunakan arang menjadi tarikan pelanggan apabila jualannya meningkat mendadak sepanjang Ramadan ini sehingga mencecah 250 ekor sehari.
Pengusahanya, Wan Marini Wan Mohd Nazi, 43, berkata, permintaan terhadap hidangan berkenaan meningkat hampir lima kali ganda berbanding hari biasa sekitar 50 ekor ayam sehari.
Katanya, setiap ayam dipotong kepada empat bahagian sebelum dibakar di atas arang selama 10 hingga 15 minit bagi menghasilkan rasa ayam percik yang lebih segar dan beraroma.
“Sepanjang Ramadan ini saya dibantu kira-kira 25 pekerja bagi menyiapkan proses membakar ayam serta menyediakan kuah percik.
“Namun pada hari biasa, tiga pekerja diperlukan dan jumlah ayam yang diproses sekitar 50 ekor sahaja setiap hari,” katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Pasir Mas–Salor di sini.
Wan Marini berkata, perniagaan tersebut adalah warisan keluarga yang dimulakan oleh neneknya, Mek Jah Mamat lebih empat dekad lalu sebelum disambung ibunya.
Katanya, selepas neneknya meninggal dunia kira-kira 16 tahun lalu, perniagaan itu kini diteruskan olehnya sebagai generasi ketiga bersama suaminya, Saifulizam Yasok, 45. – UTUSAN











