KOTA BHARU: Pas dijangka bertanding 60 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) berdasarkan formula pengagihan kerusi yang digunakan pada PRU lalu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia dilihat masih relevan untuk diguna pakai pada PRU16 walaupun beberapa pengubahsuaian kecil mungkin dilakukan mengikut keperluan semasa.
“Buat masa ini kita tidak menjangkakan PRU16 diadakan dalam masa terdekat. Boleh dikatakan untuk tahun ini ia sangat tidak mungkin berlaku.
“Namun begitu, formula sedia ada sudah ada. Pembahagian kerusi berdasarkan agihan PRU15 mungkin masih lagi relevan untuk PRU16 dengan sedikit pengubahsuaian,” katanya selepas Penyampaian Sumbangan Kepada Penggerak Pas Kota Bharu di sini, semalam.
Pada PRU15, Pas menang 43 kerusi daripada 60 yang ditandingi oleh parti tersebut.
Sementara itu, Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata, gabungan itu sudah bersiap sedia menghadapi apa sahaja bentuk pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Katanya, walaupun berlaku krisis kepemimpinan PN di negeri itu terutama dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), perkara tersebut selesai sepenuhnya.
“Kita (PN) dah lantik orang baharu untuk mengetuai PN iaitu Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin termasuk Pengerusi Bersatu Melaka.
“Jadi kita dah gerakkan jentera untuk PRN Melaka,” ujarnya. – UTUSAN











