Kenapa seorang digari, seorang lagi tidak digari? - Muhammad Akmal - Utusan Malaysia

Kenapa seorang digari, seorang lagi tidak digari? – Muhammad Akmal

AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh mempersoalkan tindakan berbeza pihak berkuasa terhadap individu yang dihadapkan ke mahkamah, khususnya melibatkan isu pemakaian gari.

Beliau berkata, terdapat situasi di mana seorang individu digari manakala seorang lagi tidak, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai.

Katanya, perkara itu wajar diperjelaskan oleh pihak polis bagi mengelakkan persepsi berlakunya layanan tidak seimbang dalam pelaksanaan undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Boleh ke pihak polis memperjelaskan kenapa berlakunya keadaan begini? Seorang digari, seorang lagi tidak digari.

“Adakah SOP berbeza kerana aktivis, Arumugam Dorasamy diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berbanding Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), Zamri Vinoth?” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Akmal turut membangkitkan isu lain melibatkan kes bendera terbalik yang didakwa menunjukkan ketidakselarasan tindakan penguatkuasaan.

Katanya, individu yang didakwa mempertahankan bendera pula dikenakan tindakan, sedangkan pihak yang didakwa sengaja menterbalikkan bendera masih bebas.

“Keadilan apakah ini?” soalnya.

Terdahulu, Zamri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Zamri mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan.

Arumugam juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membuat kenyataan menyebabkan kegentaran awam pada tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Majistret Nurul Aina Ahmad di Mahkamah Majistret Jawi Pulau Pinang hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini