Malaysia belum terima pemakluman pembatalan ART

Malaysia belum terima pemakluman pembatalan ART

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada Amerika Syarikat (AS) mengenai pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat ini AS masih menjalankan semakan bagi menentukan kadar tarif baharu terhadap negara terlibat dalam tempoh kira-kira lima bulan.

Menurutnya, proses itu melibatkan siasatan terhadap kira-kira 60 negara sebelum cadangan kadar tarif baharu dikemukakan.

“Tiada pemakluman rasmi daripada kerajaan AS mengenai pembatalan ART. Mahkamah Agung AS hanya menyatakan keputusan tarif itu adalah null and void (batal dan tidak sah).

“Lima bulan pertama kita berunding, tetapi sekarang mereka sedang menyiasat setiap negara yang terlibat. Ada kira-kira 60 negara.

“Selepas mereka memperoleh dapatan itu, AS akan mengemukakan cadangan kepada Malaysia mengenai kadar tarif dan syarat tertentu untuk dibincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat Madani MITI.

Mengulas gesaan Ahli Parlimen pembangkang yang mahu kerajaan memberi penjelasan terperinci mengenai status sebenar ART, Johari berkata mereka boleh merujuk sendiri keputusan Mahkamah Agung AS berhubung perkara itu.

“AS sendiri tidak menghantar sebarang surat rasmi kepada Malaysia mengenai pembatalan ART,” katanya.

Semalam, Johari dilaporkan berkata Malaysia tidak lagi terikat dengan ART yang ditandatangani dengan AS pada Oktober tahun lalu susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu membatalkan sebahagian besar tarif yang diumumkan pentadbiran Trump.

Beliau berkata Malaysia dan AS kini masih dalam rundingan untuk menentukan kadar tarif baharu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×