PORT DICKSON: Jeti Penumpang Port Dickson di sini menjadi tumpuan warga Indonesia khususnya dari Sumatera untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambit Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan mereka memilih untuk menaiki feri dari Port Dickson ke Tanjung Balai, Indonesia kerana kos perjalanan dan caj timbang bagasi yang lebih murah berbanding kapal terbang.
Seorang pekerja kontrak, Dicky Nugraha, 29, berkata, dia juga memilih menaiki feri kerana perjalanan ke kampung halamannya di Kisaran, Sumatera Utara lebih dekat berbanding menggunakan kapal terbang.
Menurutnya, dia perlu turun di Medan sebelum meneruskan perjalanan kira-kira empat jam untuk sampai ke rumahnya jika menaiki kapal terbang.
“Kalau naik feri dari sini terus ke Tanjung Balai, dari situ rumah saya hanya sekitar 40 minit sahaja. Harga tiket pula RM205 untuk sehala dan saya juga boleh membawa lebih banyak barang untuk keluarga,” katanya ketika ditemui sini semalam.
Sementara itu, Ellis Wahyuni, 38, berkata, dia memilih feri kerana caj timbangan bagasi lebih murah berbanding kapal terbang yang mengenakan had berat lebih ketat.
“Kalau naik feri, bawa barang banyak pun tidak mahal. Caj untuk berat lebih 60 kilogram hanya RM4. Kalau kapal terbang, barang terhad dan caj tambahan lebih mahal,” katanya.
Seorang lagi warga Indonesia, Faizal Abdul Rahman, 32, berkata, dia tiba di jeti seawal pukul 6.15 pagi, namun tidak dapat menaiki feri hari ini kerana tidak mengetahui perlu memohon pas masuk.
“Ketika sedang beratur, petugas jeti memaklumkan saya perlu memohon pas masuk. Jadi, saya terpaksa menangguhkan perjalanan hari ini dan akan menaiki feri pada pagi esok,” katanya.
Menteri Perhubungan Indonesia, Dudy Purwagandhi sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira 143.91 juta orang atau 50.60 peratus daripada penduduk Indonesia akan pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini.-UTUSAN










