Dua lelaki didakwa edar lebih 3,000 kg dadah

Dua lelaki didakwa edar lebih 3,000 kg dadah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu dan ekstasi seberat 3,322.43 kilogram (kg) di sebuah premis, awal bulan ini. 

Bagaimanapun tiada pertuduhan direkodkan daripada tertuduh, Chew Weng Han, 38 dan Liang Kar Jun, 44, kerana kes dadah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,205 plastik lutsinar dadah jenis syabu seberat 3,320.69 kilogram (kg) dan empat plastik lutsinar dadah jenis ekstasi seberat 1.438 kg di sebuah premis di Taman Gembira, Brickfields, di sini, kira-kira pukul 7.35 malam, 2 Mac lalu. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan minimum 15 kali sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivi Asnita manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja. 

Majistret S. Arunjothy menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Awal bulan lalu, media melaporkan taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa menjadikan rumah teres sebagai stor transit terbongkar selepas polis merampas 3.4 tan syabu bernilai RM170 juta dalam dua serbuan berasingan di ibu negara, 2 Mac lalu.

Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerusi ‘Op Chrysogaster’ itu merekodkan antara rampasan terbesar membabitkan 3,402.18 kilogram kg dadah disyaki methamphetamine. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini