PETALING JAYA: Taobao Malaysia mencatatkan lonjakan sebanyak 70 peratus dalam carian bagi barangan susun atur, hiasan rumah serta keperluan rumah terbuka, sekali gus mencerminkan peralihan ketara rakyat Malaysia ke arah platform e-dagang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Peningkatan drastik itu menunjukkan isi rumah kini lebih cenderung mencari penyelesaian praktikal secara dalam talian untuk memudahkan penyediaan hidangan dan mengatur ruang kediaman bagi menyambut kunjungan saudara-mara.
Ketua Taobao Malaysia, Jess Lew berkata, trend tersebut memberi gambaran bagaimana pengguna kini bukan sahaja mementingkan kemudahan, malah mencari inspirasi dalam menyediakan kediaman mereka untuk musim perayaan.
“Apa yang dapat kita saksikan ialah rakyat Malaysia kini aktif mencari penyelesaian praktikal yang memudahkan dan menyeronokkan pengalaman membeli-belah mereka. E-dagang kini terbukti menjadi bahagian penting dalam sambutan tradisi perayaan,” katanya dalam kenyataan.
Momentum persediaan tersebut turut diterjemahkan ke dunia fizikal menerusi Pesta Raya Taobao di Pusat Beli-belah MyTOWN yang berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Pemerhatian Taobao mendapati pengguna kini lebih menggemari barangan rumah serbaguna yang mempunyai nilai jangka panjang berbanding hiasan bermusim semata-mata.
Antara kategori yang paling diminati termasuklah bekas simpanan makanan, perkakasan dapur, peralatan pencahayaan dan perabot fleksibel.
Acara fizikal itu juga mempamerkan evolusi perniagaan runcit melalui gabungan penemuan digital dan interaksi fizikal, di mana pelanggan boleh menggunakan fungsi pencarian imej dan bayaran melalui kod QR dengan mudah.
Bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengguna membuat persediaan, kempen jualan Raya Taobao Malaysia dilanjutkan sehingga 20 Mac 2026, menawarkan pelbagai pilihan barangan rumah yang dipilih khas untuk inspirasi dekorasi Aidilfitri. – UTUSAN










