SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun menjadi mangsa pertama kes mercun di Kedah apabila jari telunjuknya terputus selain cedera di bahagian mata dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Merbok semalam.
Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu turut menyebabkan sebahagian tangan kiri uhammad Hafiz Muhammad Yusri cedera selain mengalami luka di bahagian perut.
Nenek mangsa, Robeah Abdul Rahman, 72, berkata, cucunya baru tiba dari Pusat Asuhan Kanak-Kanak Islam (Pasti) Batu Hampar dan dipercayai masuk ke dalam bilik di rumah mereka yang terletak bersebelahan rumahnya.
“Abangnya bergegas untuk mengambil seorang lagi kakaknya yang bersekolah di Sungai Layar dan tiba-tiba kami terdengar letupan kecil sebelum dia berlari keluar dari bilik itu sambil memegang tangan kirinya yang berdarah menuju ke rumah saya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kata Robeah, cucunya sempat memaklumkan bahawa sebiji ‘mercun bola’ telah meletup dan dalam keadaan menangis menunjukkan jari telunjuknya telah putus.
“Saya mencuci luka di jarinya termasuk di bahagian muka yang dipenuhi darah sebelum menelefon anak dan menantu saya yang ketika itu tiada di rumah,” katanya.
Kata Robeah, Muhammad Hafiz dibawa untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merbok sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Katanya, kanak-kanak itu kini berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan. – UTUSAN











