KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat dapat memuktamadkan penyata Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pada 18 Mei depan.
Ia bagi membolehkan RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang depan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, secara prinsipnya, semua ahli Parlimen di kedua-dua blok bersetuju bahawa pengasingan kuasa itu perlu dilaksanakan.
Katanya, pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya sangat diperlukan dan sekiranya mampu ia harus dilaksanakan pada tahun ini juga.
“Dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, lima perimeter dibincangkan secara umumnya iaitu mekanisma pelantikan; syarat, kelayakan dan larangan; tempoh jawatan dan had umur; mekanisme penamatan serta akauntabiliti institusi.
“Mesyuarat juga bersetuju bahawa empat orang pakar akademik perundangan dan perlembagaan akan dijemput untuk memberikan pandangan. Kemudian diikuti pula dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengemukakan pandangan mereka secara bertulis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, di sini hari ini.
Azalina berkata, sesi perbincangan melibatkan jawatankuasa itu akan diteruskan dalam lima sesi yang dijadualkan berlangsung pada April dan Mei depan sebelum dimuktamadkan pada 18 Mei.
Katanya, pengasingan kuasa kedua-dua jawatan itu penting untuk dilaksanakan kerana terdapat defisit kepercayaan dalam kalangan rakyat terhadap jawatan tertentu dalam kerajaan.
“Semua parti politik faham bahawa kerajaan berdepan dengan cabaran terhadap jawatan tertentu. Saya tidak akan menafikan bahawa terdapat defisit kepercayaan yang besar terhadap jawatan tertentu.
“Saya tidak bercakap mengenai jawatan politik tetapi jawatan tertentu (dalam kerajaan),” katanya.
Pada 3 Mac lalu, Azalina memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat.
Beliau membawa usul itu selepas bacaan kali kedua RUU berkenaan bagi memberi ruang kepada semua pihak berkaitan memperhalusi dan menelitinya.
Jawatankuasa itu turut dianggotai wakil kerajaan iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Syahredzan Johan (PH-Bangi); Adly Zahari (PH-Alor Gajah) serta Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) ; Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu); Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).
Wakil pembangkang pula terdiri daripada Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu); Datuk Seri Dr. Ronald Kiande (PN-Beluran) dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – UTUSAN











