KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan pihak berkuasa menahan seorang kanak-kanak stateless atau tanpa kewarganegaraan daripada komuniti Bajau Laut di Sabah yang didakwa ditahan ketika menyertai program kebajikan membeli barangan Aidilfitri untuk golongan asnaf.
Aktivis Pendidikan PSM, Kesavan Parwathy berkata, kanak-kanak dikenali sebagai Niko Ansboy itu dilaporkan ditahan polis ketika berada di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu semalam.
Menurut beliau, ketika kejadian, Niko berada bersama guru pengiring dari sebuah Sekolah Alternatif yang menganjurkan program kebajikan tersebut.
“Walaupun guru pengiring telah menunjukkan surat kebenaran program kepada pihak polis, penjelasan itu tidak diendahkan.
“Sebaliknya, Niko digari sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan dan dimasukkan ke lokap serta direman atas alasan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kesavan berkata, PSM memandang serius tindakan menahan seorang kanak-kanak bawah umur yang ketika itu sedang menyertai aktiviti kebajikan.
Menurutnya, tindakan mengari dan menahan pelajar itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kepekaan pihak berkuasa terhadap hak serta perlindungan kanak-kanak.
“Niko bukan penjenayah, sebaliknya seorang pelajar yang hanya mahu menyertai program kebajikan dan merasai kegembiraan menyambut Aidilfitri seperti kanak-kanak lain,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia telah menandatangani Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (CRC) pada 1995 yang mewajibkan negara melindungi semua kanak-kanak di dalam sempadannya tanpa diskriminasi.
Katanya, perlindungan tersebut termasuk hak kepada pendidikan, hak dilindungi daripada penahanan sewenang-wenangnya serta hak untuk dilayan secara bermaruah tanpa mengira status kewarganegaraan.
“Penahanan dan reman terhadap seorang kanak-kanak bukan sahaja boleh memberi kesan trauma, malah menghantar mesej membimbangkan tentang bagaimana golongan paling rentan dalam masyarakat dilayan.
“Kanak-kanak ‘stateless’ adalah mangsa kepada kegagalan sistem, bukannya penjenayah,” katanya.
Sehubungan itu, PSM menuntut agar Niko Ansboy dibebaskan segera serta menggesa pihak polis menghentikan sebarang bentuk intimidasi terhadap pelajar dan guru Sekolah Alternatif terbabit.
Dalam masa sama, parti itu turut menggesa kerajaan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu kanak-kanak ‘stateless’ di Sabah. – UTUSAN











