KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat tahun, rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung sabitan salah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta berkaitan projek solar hibrid akan didengar pada Julai ini.
Mahkamah Rayuan menetapkan 1 hingga 3 Julai ini untuk mendengar rayuan tersebut pada pengurusan kes itu di sini hari ini.
Hadir pada prosiding tersebut ialah peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, P. Sarulatha.
Rayuan itu sepatutnya didengar pada 11 Julai 2023 namun ditangguhkan bagi memberi laluan permohonan Rosmah untuk mencabar kesahihan pelantikan mendiang Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dan membatalkan perbicaraan kes rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar.
Pada 26 Mac 2024, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Rosmah tersebut dan rayuan itu kemudiannya ditetapkan untuk pendengaran pada Oktober 2024.
Bagaimanapun, ia sekali lagi terhenti ekoran rayuan Rosmah untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) atas alasan berlaku kebocoran penghakiman hakim tersebut di media sosial.
Pada 4 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan tersebut atas alasan terdapat perbezaan ketara antara draf penghakiman yang disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan penghakiman yang dibuat dan dibacakan oleh hakim berkenaan.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini menjatuhi Rosmah hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan agar hukuman tersebut ditangguhkan sehingga rayuan wanita itu diputuskan
Sehari kemudian, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.
Rosmah kemudian memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober 2022 dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya membabitkan dapatan Hakim Mohamed Zaini yang merumuskan pembelaan Rosmah adalah penafian kosong semata-mata (bare denial).
Selain itu, beliau mendakwa pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas bertali jingga, sudah diserahkan atau sebaliknya.
Rosmah turut memberikan alasan bahawa pendakwaan juga gagal membuktikan beliau telah menerima dua beg bagasi berisi RM5 juta daripada saksi pendakwaan ke-21 di Seri Perdana.
Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah disabitkan meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.
Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Bagi kesalahan pertama, Rosmah dikenakan denda RM937.5 juta, kesalahan kedua RM7.5 juta manakala kesalahan ketiga RM25 juta.
Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan ia dijalankan serentak.
Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu, hukuman penjaranya boleh ditambah lagi 30 tahun. – UTUSAN











