PETALING JAYA: Sistem giliran digital bagi perkhidmatan kaunter di seluruh cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang diperkenal bermula semalam membolehkan orang ramai berada di mana-mana, sambil memantau nombor giliran melalui telefon pintar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pengenalan sistem itu membolehkan pendeposit menguruskan masa dengan lebih sistematik tanpa perlu beratur panjang atau menunggu lama di kaunter fizikal.
Katanya, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR untuk menerima pemberitahuan nombor giliran secara terus dalam telefon pintar.
“Langkah ini merupakan komitmen berterusan TH dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada seluruh 9.7 juta pendeposit kami.
“Pengenalan sistem ini juga merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan TH bagi memudahkan urusan pendeposit tanpa perlu beratur panjang dan menunggu lama untuk mendapatkan nombor giliran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustakim berkata, sistem itu turut mengintegrasikan fungsi penilaian indeks kepuasan pelanggan serta e-Borang Maklum Balas Pelanggan bagi memastikan setiap urusan dikendalikan dengan lebih telus.
“TH yakin sistem TH Digital Queue ini akan membantu melancarkan lagi urusan pelanggan di kaunter kami di seluruh Malaysia, di samping memastikan proses pengendalian maklum balas pelanggan diuruskan dengan telus dan segera,” katanya. – UTUSAN











