ISLAMABAD: Pakistan melancarkan serangan ke atas kem tentera Afghanistan di Kandahar selepas dron Taliban menyasarkan kawasan awam dan kemudahan tentera di seluruh negara.
Serangan itu berlaku selepas Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari mengecam serangan dron semalaman itu, memberi amaran kepada Kabul mereka sudah melintasi garisan merah dengan cuba menyasarkan orang awam.
Tentera Pakistan berkata, dron tempatan itu, berjaya dipintas sebelum mencapai sasaran, walaupun serpihan yang jatuh mencederakan dua kanak-kanak di Quetta dan orang awam di Kohat serta Rawalpindi.
Seorang sumber keselamatan memberitahu agensi berita AFP, ruang udara sekitar ibu negara Islamabad ditutup sementara ketika dron itu dikesan.
Islamabad berkata, kem di Kandahar itu digunakan untuk melancarkan serangan dron dan sebagai pangkalan aktiviti pemberontak rentas sempadan.
Serangan dron berlaku selepas serangan Pakistan ke atas Kabul dan wilayah sempadan Afghanistan semalaman dari Khamis hingga Jumaat yang membunuh empat orang di ibu negara, termasuk wanita, kanak-kanak, serta dua lagi di timur negara tersebut.
Sementara itu, di kawasan Pul-e-Charkhi, Kabul, seorang penduduk berkata, dia tertimbus di bawah runtuhan selepas rumahnya terkena serangan sebelum jiran menyelamatkannya.
Seorang wakil tempatan memberitahu AFP mangsa yang terbunuh adalah orang awam dan penduduk miskin yang tidak terlibat dalam konflik.
Pesawat Pakistan juga menyerang depot bahan api milik syarikat penerbangan swasta Kam Air berhampiran lapangan terbang Kandahar, yang digunakan organisasi bantuan termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah. Pegawai berkata, tiada kem tentera di tapak tersebut.
Kementerian Pertahanan Afghanistan mendakwa pasukannya menawan pos sempadan Pakistan dan membunuh 14 askar.
Islamabad menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas, dengan jurucakap perdana menteri menuduh Taliban ‘berfantasi’ daripada membongkar rangkaian pemberontak di wilayah Afghanistan.
Misi PBB di Afghanistan melaporkan sekurang-kurangnya 75 orang awam terbunuh dan 193 cedera sejak permusuhan memuncak pada 26 Februari, termasuk 24 kanak-kanak dengan kira-kira 115,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka.
Menteri Luar China, Wang Yi menyeru kedua-dua pihak untuk meneruskan dialog, memberi amaran penggunaan kekerasan lanjut hanya akan memburukkan krisis, walaupun rayuannya berlaku ketika jet Pakistan sudah berada di ruang udara Kandahar.
Pertukaran serangan ini mencetus ketegangan terburuk dalam konflik yang bermula sejak akhir Februari, apabila Pakistan melancarkan operasi tentera terhadap pejuang-pejuang Taliban Pakistan yang berlindung di Afghanistan. – AGENSI










