KUALA TERENGGANU: Kecenderungan mengejar gaya hidup mewah sehingga sanggup membuat pinjaman peribadi selain kegagalan mengurus kewangan menjadi antara punca utama peningkatan kes kebankrapan dalam kalangan golongan muda di Terengganu.
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan, sebanyak 340 kes muflis adalah akibat pinjaman peribadi dalam tempoh lima tahun lalu.
Golongan berusia 35 tahun hingga 44 tahun mencatatkan bilangan individu bankrap tertinggi iaitu seramai 355 orang dalam tempoh sama.
Jumlah itu diikuti individu berusia 45 tahun hingga 54 tahun seramai 210 orang, usia antara 25 hingga 34 tahun sebanyak 180 orang, 55 tahun ke atas (106 orang) dan bawah 25 tahun dua orang.
Pengarah Jabatan Insolvensi Negeri Terengganu, A’thifah Ibrahim berkata, trend kebankrapan dalam kalangan golongan muda menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
Katanya, gaya hidup mewah dan kecenderungan membuat pinjaman peribadi serta pinjaman sewa beli kenderaan pada kadar tinggi menjadi faktor utama yang mendorong mereka terjerumus ke dalam masalah kewangan.
“Amalan gaya hidup mewah mendorong golongan muda membuat pinjaman peribadi dan pinjaman sewa beli kenderaan yang tinggi sehingga akhirnya terjerat dengan hutang yang gagal dibayar dan diisytiharkan muflis.
“Jumlah golongan muda yang terlibat dalam kes kebankrapan juga semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
A’thifah berkata, selain pinjaman peribadi, punca kedua tertinggi kebankrapan adalah pinjaman perniagaan dengan 206 kes.
Katanya, ia diikuti lain-lain punca sebanyak 114 kes, sewa beli kenderaan (65 kes), pinjaman perumahan (25 kes), penjamin korporat (23 kes) serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak enam kes.
Menurutnya, individu boleh diisytiharkan bankrap sekiranya jumlah pinjaman yang gagal dibayar melebihi RM100,000.
“Jumlah keseluruhan kes kebankrapan di Terengganu menunjukkan trend peningkatan setiap tahun iaitu daripada 135 kes pada 2021 kepada 260 kes pada tahun lalu.
“Pinjaman peribadi merupakan penyumbang terbesar dengan kes meningkat lebih tiga kali ganda daripada 30 kes pada 2021 kepada 106 kes tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, majoriti individu yang diisytiharkan bankrap adalah lelaki iaitu kira-kira 73 peratus daripada jumlah keseluruhan melibatkan 624 orang berbanding wanita seramai 228 orang.
Katanya, berdasarkan status pekerjaan, kebanyakan individu bankrap terdiri daripada mereka yang bekerja dalam sektor swasta iaitu 412 orang atau 27.58 peratus.
Ia diikuti golongan bekerja sendiri seramai 265 orang (17.74 peratus), kategori lain-lain (265 orang), sektor awam (214 orang), tidak bekerja (175 orang), berniaga (138 orang), pesara kerajaan (23 orang) dan profesional (dua orang).-UTUSAN.











