KOTA BHARU: Hanya kerana enggan berbuka puasa bersama, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga anak kepada pemilik restoran terapung terkenal, JL Fara Houseboat (JL Fara), cedera pada beberapa anggota badan selepas dipercayai dibelasah bekas tunangnya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kedai Lalat di sini pada 21 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa didakwa dipukul dan dicekik oleh lelaki terbabit yang juga dikenali di media sosial selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Ibu mangsa, Fara Sharina Zamari, 37, berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut selepas melihat kesan lebam pada bahagian tengkuk anak sulungnya kira-kira tiga hari kemudian.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa lagi kesan lebam pada bahagian badan mangsa yang dipercayai akibat dipukul.
“Anak saya memaklumkan dia dipukul oleh tunangnya hanya kerana tidak mahu berbuka puasa bersama. Mereka baru sahaja bertunang kira-kira tiga bulan lalu tetapi putus.
“Pada hari kejadian, lelaki itu didakwa berang apabila anak saya memilih untuk berbuka puasa bersama saya,” katanya kepada pemberita di premis JL Fara di sini hari ini.
Susulan kejadian tersebut, Fara Sharina berkata, dia membawa anaknya membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi pemeriksaan lanjut.
Katanya, dia bersyukur kerana anaknya tidak mengalami kecederaan serius.
“Selepas laporan dibuat, tunang anak saya itu ditahan polis sebelum dibebaskan dengan jaminan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa lelaki tersebut bersikap panas baran dan pernah melakukan perbuatan sama terhadap wanita lain sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, berikutan insiden tersebut, beliau meminta anaknya memutuskan tali pertunangan itu bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku pada masa hadapan. – UTUSAN










