Penduduk buntu kehilangan Acap di Bukit Bt Putih belum terungkai

Penduduk buntu kehilangan Acap di Bukit Batu Putih belum terungkai

MUKHTARUDDIN Abdul Wahid menunjukkan arah ke bukit iaitu trek larian Gopeng Ultra Trail yang dilalui Acap sebelum dilaporkan hilang pada tahun 2019. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Kehilangan peserta larian Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hasan atau Acap yang dilaporkan hilang di Bukit Batu Putih pada 23 Mac 2019, terus menjadi misteri sehingga kini.

Penduduk tempatan yang turut membantu usaha pencarian mengakui masih buntu dengan apa yang sebenarnya berlaku kepada lelaki itu.

Bekas Ketua Kampung Pintu Padang, Mukhtaruddin Abdul Wahid, 70, berkata, walaupun pelbagai usaha pencarian dilakukan oleh pihak berkuasa dan orang awam, Acap masih gagal ditemukan sehingga hari ini.

Mukhtaruddin atau lebih dikenali sebagai Pak Ta berkata, kehilangan Acap merupakan satu misteri yang sukar dirungkai walaupun kawasan tersebut sering dilalui dan sudah lama diterokai oleh penduduk setempat.

“Kehilangan Acap terus menjadi misteri. Penduduk tempatan juga buntu dengan apa yang sebenarnya berlaku.

“Walaupun kawasan itu sudah lama diterokai dan dilalui penduduk, tiada petunjuk jelas ditemui mengenai kehilangan tersebut.

“Saya sendiri tidak tahu apakah nasib Acap. Kehilangannya kekal menjadi misteri yang belum terjawab sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pintu Padang di sini.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Acap, dia amat merasai kehilangan lelaki itu kerana turut terlibat sebagai sukarelawan dalam operasi pencarian.

Katanya, selepas operasi pencarian rasmi oleh pihak berkuasa ditamatkan, dia masih membantu usaha mencari Acap dengan pelbagai cara termasuk kaedah pencarian tradisional.

“Ketika membantu pencarian secara tradisional, saya bersama seorang rakan pernah naik ke Bukit Batu Putih pada waktu malam iaitu antara laluan yang dilalui Acap semasa acara Gopeng Ultra Trail.

“Namun selepas pelbagai usaha dilakukan, Acap masih tidak ditemukan walaupun kehilangannya sudah lama sejak 2019,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini dia pernah berhubung dengan ahli keluarga Acap yang tinggal di Johor dan mereka masih meneruskan usaha mencari lelaki tersebut.

“Namun sudah agak lama saya tidak berhubung dengan keluarga Acap dan tidak mengetahui perkembangan terkini mereka. Saya hanya berharap mereka terus tabah menghadapi ujian kehilangan ahli keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×