PETALING JAYA: Kejayaan skuad hoki negara melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2026 menuntut perhatian serius Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyediakan peruntukan khas bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berada di tahap optimum.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, kejayaan mara ke Piala Dunia 2026 memerlukan sokongan daripada segi kewangan bagi mempersiapkan pemain dengan latihan intensif dan program pembangunan fizikal.
Tegasnya lagi, adalah tidak adil sekiranya sasaran ke Piala Dunia 2026 berjaya direalisasikan namun tiada bantuan kewangan.
“Ya, untuk Piala Dunia pasukan memang perlu peruntukkan khas. Kalau letak sasaran ke Piala Dunia tetapi tiada suntikan dana tambahan, itu tidak adil.
“Apa yang diperlukan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mesti diberikan. Ada lagi lima bulan untuk buat persiapan. Tengok apa yang perlu dibantu atau perkara yang perlu diperkemaskan lagi,” katanya.
Malaysia mara ke Piala Dunia selepas mengisi slot ketujuh berdasarkan kedudukan ranking dunia tertinggi antara pasukan yang tewas dalam aksi penentuan tempat ketiga di kedua-dua kejohanan kelayakan yang diadakan minggu lalu.
Sebelum ini, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu badan induk itu berdepan kekangan dana dan penaja, namun masih berupaya memastikan Speedy Tigers layak ke Piala Dunia empat kali berturut-turut.
Pekan turut mengingatkan Speedy Tigers mengubah pemikiran dan bukannya sekadar berbangga layak ke kejohanan tertinggi di dunia itu sebaliknya mencipta kejayaan. – UTUSAN










