LONDON: Pengurus Chelsea, Liam Rosenior mempersoalkan tindakan pelik pengadil Paul Tierney selepas berlaku insiden sebelum sepak mula ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, semalam.
Kemenangan itu menamatkan penantian panjang Newcastle selama 14 tahun untuk menewaskan Chelsea di Stamford Bridge menerusi jaringan tunggal Anthony Gordon pada minit ke-18 yang berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan tuan rumah.
Namun, fokus selepas perlawanan lebih tertumpu kepada kejadian pelik sebelum permainan bermula apabila Tierney dilihat berdiri di tengah-tengah bulatan pemain Chelsea ketika kapten pasukan, Reece James sedang memberi kata-kata semangat kepada rakan sepasukan.
Rosenior berkata, beliau akan menghubungi badan pengadil England, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan pengadil berkenaan yang didakwa mengganggu ritual praperlawanan pasukannya.
Menurutnya, kebiasaan pemain Chelsea berkumpul di tengah padang sebelum sepak mula dilakukan sebagai simbol menghormati permainan selain mempamerkan semangat perpaduan dalam pasukan.
“Saya mahu melindungi pemain saya. Mereka membuat keputusan untuk berkumpul di sekeliling bola sebagai tanda hormat kepada permainan serta menunjukkan perpaduan dan kepimpinan,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keputusan Tierney yang tidak memberikan sepakan penalti kepada Chelsea selepas Cole Palmer dijatuhkan oleh Nick Woltemade dalam kotak penalti pada babak kedua.
Sebelum ini, Rosenior juga pernah mengkritik barisan kejurulatihan Arsenal yang didakwanya tidak menghormati pasukannya apabila memasuki kawasan separuh padang Chelsea ketika sesi memanaskan badan di Stadium Emirates pada Januari lalu. – AFP/UTUSAN










