KUALA TERENGGANU: Seorang gadis tidak serik melakukan kesalahan mengubah suai motosikal apabila sekali lagi ditahan dalam Op Rempit dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, di sini malam tadi.
Remaja perempuan berusia 17 tahun kali kedua ditahan atas kesalahan mengubah suai motosikal jenis Yamaha Y15. Sebelum ini dia ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, ia menunjukkan remaja tersebut tidak serik dan terus mengulang kesalahan sama sehingga ditahan sekali lagi dalam Op Rempit yang bermula pukul 6 petang semalam.
“Dalam operasi ini, sebanyak 22 motosikal disita atas pelbagai kesalahan antaranya tidak mempamerkan nombor pendaftaran, ubah suai kenderaan, tayar dan lain-lain. Semua yang ditahan berusia 17 tahun hingga 38 tahun.
“Daripada 22 yang disita, 19 motosikal tiada nombor plat. Situasi itu seumpama satu trend dalam kalangan mat rempit ini. Aktiviti rempit dilihat semakin agresif pada Ramadan apabila ramai berkonvoi yang mendorong mereka melanggar undang -undang,” katanya dalam sidang media selepas operasi itu.
Menurut Mohd. Zamri, kawasan panas yang sentiasa menjadi lokasi mat rempit menguji kelajuan motosikal mereka adalah di Jalan Padang Midin dan Seberang Takir berdekatan Drawbridge.
Sementara itu, menurut beliau, sepanjang tahun lalu , sebanyak 84,358 motosikal diperiksa manakala 16,674 diambil tindakan manakala setakat 11 Mac lalu, sebanyak 14,279 motosikal diperiksa dan 3,728 dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
Dari segi teknikal, ubah suai motosikal merekodkan 381 kes tahun lalu dan sehingga 11 Mac lalu, 111 kes direkodkan diikuti tidak mempamerkan nombor pendaftaran sebanyak 844 kes dan 220 kes tahun ini. – UTUSAN










