PENYIASAT di New Mexico memulakan pencarian pada Isnin lalu di bekas ladang tanah tinggi milik pesalah seks, mendiang Jeffrey Epstein di mana ahli kewangan yang sudah meninggal dunia itu bersama kenalannya didakwa menyorokkan ‘rahsia besar’ penderaan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di lokasi itu.
Kerajaan negeri New Mexico yang diterajui Parti Demokrat bertindak berdasarkan maklumat baharu dalam dokumen yang dikeluarkan pada Januari oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS).
Antaranya termasuk dakwaan Epstein mengarahkan mayat dua remaja perempuan warga asing dikebumikan di kawasan bukit berhampiran hartanah terpencil itu yang dulu dikenali sebagai Zorro Ranch.
Pencarian itu dibuat susulan keputusan Peguam Negara New Mexico, Raúl Torrez bulan lalu untuk membuka semula siasatan terhadap aktiviti jenayah yang didakwa berlaku di ladang berkenaan, kira-kira 48 kilometer di selatan ibu negeri Santa Fe.

“Jabatan Kehakiman New Mexico akan terus memaklumkan perkembangan kepada orang ramai secara sewajarnya, menyokong mangsa yang terselamat dan mengikuti fakta ke mana sahaja ia membawa kita,” menurut kenyataan agensi itu.
Pada Isnin, seorang saksi Reuters mendengar anjing menyalak dan melihat sebuah kenderaan kerajaan yang mempunyai simbol cap tapak kaki meninggalkan kawasan ladang, dipercayai membawa haiwan pengesan. Kenderaan polis negeri serta pasukan bomba dan penyelamat daerah turut kelihatan di lokasi.
New Mexico sebelum ini menutup siasatan terhadap Epstein pada 2019 atas permintaan pihak berkuasa persekutuan. Sehingga kini, belum pernah ada siasatan menyeluruh terhadap dakwaan serangan seksual yang melibatkan Epstein dan pasangannya, Ghislaine Maxwell serta tetamu yang mengunjungi ladang tersebut.
Bulan lalu, New Mexico menjadi negeri pertama di AS yang menubuhkan ‘suruhanjaya kebenaran’ melalui badan legislatif bagi menyiasat kemungkinan wujudnya rasuah atau kelemahan sistem yang membolehkan Epstein beroperasi secara rahsia di ladang itu selama 26 tahun sebelum kematiannya pada 2019.
Hartanah itu dijual pada 2023 kepada ahli perniagaan Texas, Don Huffines yang kemudian menamakannya semula sebagai San Rafael Ranch. Pemilik baharu dilaporkan memberi kerjasama baik kepada penyiasatan dan membenarkan pihak berkuasa memasuki kawasan ladang berkenaan.
Pencarian ini sebahagian daripada siasatan jenayah yang diumumkan oleh Jabatan Kehakiman New Mexico pada 19 Februari berhubung dakwaan aktiviti haram di ladang Epstein sebelum kematiannya pada 2019.
Dokumen penyiasatan turut menunjukkan pihak berkuasa sebelum ini menggeledah hartanah Epstein di Manhattan dan Kepulauan Virgin. Namun tidak pernah menjalankan pencarian menyeluruh di New Mexico, lokasi beliau membina sebuah rumah agam melebihi 2,787 meter persegi.
Pendedahan jutaan dokumen tambahan pada 30 Januari turut menunjukkan hubungan sosial Epstein dengan pelbagai tokoh berpengaruh dalam bidang politik, kewangan, akademik dan perniagaan dari pelbagai negara yang pernah dijemput ke ladang tersebut selain pulau miliknya di Little Saint James.
Pendedahan itu melibatkan ramai nama besar termasuk, Pengasas Microsoft, Bill Gates, hartawan di negara Teluk dan keluarga diraja Eropah. Dokumen yang dikenali
‘Epstein files’ itu juga menjadi isu politik berterusan bagi Presiden AS, Donald Trump yang namanya didakwa turut tersenarai.
Minggu lalu, Jabatan Kehakiman menerbitkan dokumen tambahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengandungi temu bual dengan seorang wanita yang mendakwa
Trump menyerangnya secara seksual selepas diperkenalkan kepadanya oleh Epstein.
Dokumen diterbitkan itu termasuk keterangan beberapa temu bual yang dibuat FBI pada 2019 dengan wanita itu, yang mendakwa diserang oleh Epstein dan Trump ketika berusia antara 13 hingga 15 tahun. Dalam satu temu bual, wanita itu berkata, Epstein membawanya ke New York atau New Jersey dan memperkenalkannya kepada Trump.
Dia memberitahu penyiasat yang dia menggigit Trump ketika Presiden AS itu cuba memaksanya melakukan seks oral ke atasnya.
Epstein meninggal dunia ketika ditahan di penjara persekutuan di New York City sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks melibatkan kanak-kanak. Pihak FBI menyatakan lebih 1,000 mangsa dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, dokumen Jabatan Kehakiman yang disemak Reuters juga mendedahkan pelayan komputer yang menyimpan bahan berkaitan siasatan
Epstein di pejabat lapangan FBI di New York pernah digodam pada 2023.
Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, pencerobohandipercayai dilakukan oleh penggodam asing, walaupun tidak jelas sama ada ia berkaitan mana-mana kerajaan. Insiden itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan mengenai nilai maklumat dalam fail Epstein kepada agensi perisikan asing.
Seorang penyelidik keselamatan siber di InstitutTeknologi Georgia, Jon Lindsay berkata, fail Epstein berpotensi menjadi sasaran pihak yang ingin mendapatkan bahan kompromi terhadap tokoh berpengaruh.
“Jika agensi perisikan asing tidak memandang serius fail Epstein sebagai sasaran, saya akan sangat terkejut,” katanya.
Pencerobohan tersebut berlaku pada 12 Februari 2023 selepas sebuah pelayan di makmal forensik eksploitasi kanak-kanak FBI di New York secara tidak sengaja terdedah kepada rangkaian internet.
Pendakwa raya Poland pada Rabu berkata, mereka juga sedang menyiasat kes pemerdagangan manusia dikaitkan dengan Epstein yang disyaki berlaku di negara itu.
Pejabat Pendakwa Negara Poland menyatakan pihaknya sedang meneliti sama ada wanita termasuk yang masih bawah umur direkrut di Poland dengan cara memperdaya mereka mengenai sifat sebenar pekerjaan yang kononnya ditawarkan di luar negara.
Sebahagian besar dokumen Jabatan Kehakiman berkaitan kes Epstein yang dikeluarkan kepada umum juga dipadamkan beberapa bahagian sensitif, manakala dokumen lain masih dirahsiakan walaupun undang-undang mewajibkan pendedahan penuh.










