Aidilfitri: Bekalan air Terengganu dijamin cukup

Aidilfitri: Bekalan air Terengganu dijamin cukup

ABDUL Karim Endut (tengah) bergambar bersama anak yatim pada Majlis Iftar Perdana Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) di Kuala Terengganu, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Penggunaan air di Terengganu dijangka meningkat sehingga 35 peratus menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan susulan kepulangan perantau ke kampung halaman dan peningkatan aktiviti persiapan perayaan.

Bagaimanapun, Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) memberi jaminan bekalan air di negeri ini mencukupi sepanjang musim perayaan selepas pelbagai persediaan awal dilakukan bagi memastikan tekanan, kuantiti dan kualiti bekalan berada pada tahap baik.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, pihaknya menganggarkan kadar penggunaan air meningkat antara 20 hingga 30 peratus pada minggu pertama Aidilfitri dan lazimnya melonjak sehingga 35 peratus sehari sebelum 1 Syawal.

“Kita membuat persediaan sepenuhnya termasuk kerja-kerja penggantian aset serta menaik taraf paip agihan yang dilaksanakan sejak tahun lalu.

“Langkah ini turut melibatkan penambahbaikan sistem agihan ke rumah penduduk di 11 perkampungan yang sebelum ini dikategorikan sebagai lokasi panas,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar Perdana SATU bersama anak yatim di sini, kelmarin.

Menurut Abdul Karim, projek menaik taraf aset bekalan air di bandar raya ini dan di Kuala Nerus siap sepenuhnya tahun lalu dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta.

“Kerja-kerja penggantian paip agihan lain pula dilaksanakan menggunakan peruntukan dalaman syarikat. Kita menggunakan sebahagian besar daripada pendapatan tahunan sebanyak RM225 juta yang direkodkan tahun lalu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan termasuk menaik taraf serta menggantikan aset sedia ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×