UMNO Johor sambut baik keterbukaan Hishammuddin, Maulizan untuk kembali - Utusan Malaysia

UMNO Johor sambut baik keterbukaan Hishammuddin, Maulizan untuk kembali

ONN HAFIZ Ghazi (depan tengah) bergambar bersama kepimpinan UMNO negeri selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di Ibu Pejabat UMNO Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Johor menyambut baik keterbukaan beberapa individu termasuklah Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Maulizan Bujang yang bersedia untuk kembali aktif dalam parti susulan keterbukaan dibuat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagaimanapun berkata, sebarang keputusan berhubung perkara tersebut akan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Berkenaan perkara itu, beberapa individu dari Johor telah buat kenyataan bahawa mereka terbuka untuk kembali bersama UMNO. Di peringkat UMNO Johor kita terima dengan baik.

“Keputusan akhir akan dibuat di peringkat MKT. Usaha ini dilihat mampu memperkuat UMNO di negeri dan pusat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata UMNO sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuklah mereka yang pernah dipecat dan digantung sebelum ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberitahu konsep ‘Rumah Bangsa’ bermakna pintu sentiasa terbuka untuk mana-mana pemimpin atau individu untuk kembali bersama UMNO semula pada masa depan.

Sementara itu, Onn Hafiz memberitahu, perbincangan tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) juga telah dimulakan pihaknya tetapi tiada ketetapan yang telah dibuat termasuklah tarikh PRN akan datang.

“Bagaimanapun buat masa ini kita lebih fokus kepada isu-isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat, jadi belum ada ketetapan bilakah tarikh sesuai diadakan PRN.

“Tetapi yang pasti kita akan teruskan khidmat kepada rakyat termasuklah di lapangan, kita akan fokus untuk selesaikan,” katanya lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×